
Malaysia catat pertumbuhan KDNK 5.9 peratus
KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melebihi jangkaan awal pakar ekonomi.
Prestasi cemerlang itumenjadikan Malaysia antara negara dengan pertumbuhan ekonomi terbaik di ASEAN bagi tempoh tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan ekonomi negara berjaya mengatasi unjuran yang dijangkakan.
“Ini adalah suku kedua yang mana Malaysia mencatatkan prestasi di luar jangkaan berturut-turut.
“Penambahbaikan ini mencerminkan permulaan yang kukuh serta keputusan-keputusan sukar yang kita buat dalam usaha mereformasi dan mentransformasikan Malaysia sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa keputusan yang dibuat termasuk usaha membanteras rasuah, penjajaran semula rejim subsidi serta penekanan kepada pelaburan bernilai tinggi mula menampakkan hasil.
“Dunia semakin melihat Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan global. Contohnya, syarikat semikonduktor Jerman, Infineon yang melabur RM25 bilion untuk membina kilang baharu berteknologi tinggi di sini,” katanya lagi.
Selain itu, Anwar turut mengulas mengenai pelaburan baru dari gergasi teknologi seperti Google, Microsoft dan NVIDIA yang menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia semakin meningkat.
“Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan mata wang utama lain serta peningkatan pantas FBM KLCI tahun ini jelas mencerminkan keyakinan tersebut,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menekankan pentingnya kerangka Ekonomi Madani dalam memperkenalkan industri bernilai tinggi dan mampan melalui dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan.
“Matlamat kita adalah untuk mencapai pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5.5 peratus setahun, jika tidak enam peratus, yang akan meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar di dunia,” tambahnya lagi.
Namun beliau mengingatkan bahawa angka-angka ini (ITU) tidak bermakna jika rakyat tidak mendapat manfaatnya.
“Kerangka Ekonomi Madani bertujuan untuk memastikan masyarakat yang lebih adil dan negara yang memperjuangkan keadilan sosial dan kesaksamaan,” katanya lagi.
Anwar yakin impian tersebut boleh dicapai dengan syarat seluruh rakyat Malaysia bekerjasama untuk merealisasikannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






