
LHDN ‘serbu’ Bukit Bintang, buru peniaga tempatan dan warga asing elak cukai
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan usaha memperluas asas cukai dengan melaksanakan satu Operasi Khas Lawatan Banci Bisnes Ops Stardust Kuala Lumpur.
Lawatan Banci Bisnes (LBB) itu yang berlangsung selama dua hari bermula pada 26 Februari lalu di sekitar Kuala Lumpur turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.
Turut serta dalam operasi itu ialah Timbalan Ketua Eksekutif (Pengurusan), Datuk Hisham Rusli dan barisan pengurusan kanan LHDN di lokasi operasi sekitar Bukit Bintang.
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, operasi itu adalah untuk mengenalpasti, mengumpul dan mengemaskini maklumat pemilik-pemilik perniagaan secara bersemuka oleh pegawai LHDN.
Katanya, Operasi itu tertumpu kepada aktiviti-aktiviti perniagaan seperti gerai makanan, minuman dan buah-buahan.
“Seramai 80 orang pegawai LHDN daripada Jabatan Perisikan dan Profiling (JPDP), Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka terlibat di dalam operasi kali ini.
“Selain itu, melalui LBB ini juga pegawai LHDN akan turut menyampaikan info-info
berkait dengan percukaian bagi mendidik para peniaga agar tahap kesedaran dan pematuhan mereka meningkat,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, segala hasil penemuan maklumat yang diperoleh akan disemak dengan teliti dan tindakan audit atau siasatan akan dijalankan.
Katanya, ia melibatkan individu, perniagaan dan syarikat yang cuba mencari helah atau mengelak daripada melaporkan pendapatan dan membayar cukai yang sepatutnya baik warga tempatan mahupun asing.
“Tindakan pematuhan secara berterusan juga akan dibuat termasuklah mengenakan penalti dan tindakan pendakwaan sekiranya didapati para peniaga gagal melaporkan jumlah pendapatan dan melanggar undang-undang percukaian.
“Menerusi pelaksanaan program seumpama ini, LHDN berharap aktiviti pelarian cukai dapat dibendung sekaligus dapat menyumbang kepada kelestarian ekosistem percukaian negara.
Sementara itu, Abu Tariq berkata, strategi pematuhan yang menyeluruh merangkumi peringkat pengesanan, pengauditan, penyiasatan sehinggalah cukai sebenar dikutip hendaklah sentiasa dipatuhi, dilaksana dan ditambah baik.
Beliau berkata, ia agar selari dengan persekitaran dan cabaran semasa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |