
Kempen ‘Happening Raya’ Mydin tawar pelbagai faedah dan penjimatan
SEREMBAN – Syarikat pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin melancarkan kempen ‘Happening Raya’ bagi memenuhi keperluan perbelanjaan masyarakat sempena ketibaan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kempen yang bermula dari 7 Mac sehingga 11 Mei itu merupakaninisiatif pihaknya untuk mengurangkan beban perbelanjaan yang ditanggung umat Islam terutama menjelang dua sambutan penting itu.
Menerusi kempen yang dilancarkan itu, pelbagai tawaran dan penjimatan menarik menanti pelanggan antaranya barangan rumah, dekorasi rumah, pakaian raya anak-anak dan sebagainya.
“Perayaan ini sudah semestinya menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan dan saat yang ‘happening’ untuk kita semua menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
“Kempen ini akan melibatkan semua cawangan pasaraya kami di seluruh negara,” katanya pada pelancaran ‘Happening Raya’ di Mydin Seremban 2 semalam.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ammer berkata, antara pengisian paling menarik sepanjang kempen itu adalah ‘Program Jelajah Iftar Ala Madinah’ yang menawarkan tujuh lokasi berbuka puasa di Mydin secara percuma untuk 11,000 pengunjung.
Selain itu katanya, sebanyak 45,000 bekas bubur lambuk akan diagihkan secara percuma di cawangan terpilih melalui program yang dianjurkan bersama jenama-jenama terkenal seperti Adabi, Anchor, Azmy, Maggi dan banyak lagi.
“Bazar Ramadan di 25 cawangan Mydin terpilih pula akan menjadi destinasi utama dengan lebih dari 100 pilihan juadah berbuka puasa pada harga yang sangat berpatutan.
“Juadah istimewa yang ditawarkan di bazar Ramadan Mydin ialah ‘Menu Rahmah’ yang berharga RM5,” katanya.
Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi baucer bernilai keseluruhan RM30,000 melalui peraduan ‘Kongsi Kisah Perabot Impian’ yang dianjurkan bersama Courts Malaysia.
Program itu katanya sebahagian daripada usaha Mydin bersama 43 rakan strategik mengumpul dana Mydin Prihatin untuk disumbang kepada golongan B40 di seluruh negara.
“Pulangan tunai dan ganjaran menarik juga ditawarkan kepada pelanggan yang berbelanja minimum RM50 dalam satu transaksi menggunakan aplikasi e-dompet Boost dan SPayLater,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh diperolehi dari laman web rasmi Mydin Malaysia di www.mydin.my.

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |