E-Invois, TCC bukti ketelusan kontraktor – Alexander
SHAH ALAM – Sistem e-Invois dan Sijil Pematuhan Cukai (TCC) bukan sekadar keperluan teknikal semata-mata, sebaliknya menjadi ukuran utama tahap integriti dan kecekapan tadbir urus kewangan sesebuah syarikat kontraktor.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan dua inisiatif tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh sistem percukaian serta meningkatkan ketelusan urus niaga dalam industri pembinaan negara.
Menurutnya, TCC kini menjadi syarat asas dalam permohonan projek dan pengesahan kelayakan oleh agensi kerajaan, menjadikan pematuhan cukai satu elemen penting yang tidak boleh dipandang ringan oleh pemain industri.
“Tanpa Sijil Pematuhan Cukai, banyak proses permohonan atau pengesahan projek boleh tertangguh atau terbatal. Ini menunjukkan betapa pentingnya tahap kepatuhan dan integriti dalam urus tadbir kewangan syarikat,” katanya ketika merasmikan Seminar E-Invois dan Pematuhan Cukai (TCC) LHDN anjuran Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dengan kerjasama CIDB Negeri Selangor dan Pusat Khidmat Kontraktor Negeri Selangor di Kelab Shah Alam, di sini hari ini.
Alexander berkata, pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merupakan langkah proaktif kerajaan mendigitalkan urus niaga bagi memastikan ketelusan, mengelakkan ketirisan dan memudahkan pemantauan kewangan syarikat.
“E-Invois bukan sekadar sistem baru, tetapi platform yang akan memudahkan kontraktor berurusan dengan agensi, mendapatkan pembiayaan dan meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap syarikat mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama CIDB akan terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada kontraktor agar tidak ketinggalan dengan dasar-dasar baharu kerajaan termasuk pelaksanaan e-Invois.
“Industri pembinaan memberi kesan pengganda besar kepada ekonomi negara dan perlu dikawal selia dengan dasar yang adil serta praktikal bagi memastikan daya tahan syarikat dan kelangsungan pelaksanaan projek awam.
“Apabila projek pembinaan berjalan, seluruh rantaian ekonomi bergerak daripada bahan binaan, tenaga kerja, pengangkutan hingga kepada ekonomi setempat. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan dasar sedia ada responsif terhadap cabaran industri,” katanya lagi.
Alexander turut menyeru kontraktor agar terus memperkukuh keupayaan, memahami dasar semasa dan mengekalkan integriti dalam setiap aspek pengurusan.
“Kepatuhan kepada undang-undang bukan sekadar tanggungjawab, tetapi satu pelaburan jangka panjang bagi menjamin daya saing dan kelangsungan perniagaan,” jelasnya lagi.
Tambahnya, sesi petang seminar turut menampilkan taklimat daripada CIDB mengenai Akta 520, iaitu asas perundangan kawal selia industri pembinaan negara bagi memastikan kontraktor memahami tanggungjawab serta hak mereka sebagai pemain industri.
“Melalui pendaftaran yang sah, pematuhan kepada Akta 520 serta penyelarasan maklumat dengan agensi lain termasuk LHDN, kontraktor akan berada dalam kedudukan kukuh untuk bersaing secara sihat dan layak menyertai projek kerajaan atau swasta,” katanya lagi.
Alexander pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada PKBM atas usaha menganjurkan seminar berkenaan yang disifatkan sangat relevan dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan tadbir urus telus serta berintegriti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






