
BNM denda Bank Islam, Bank Rakyat dan BSN kerana langgar akta dan polisi
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti kewangan pentadbiran (AMP) berjumlah RM3.445 juta terhadap Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kerana gagal mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) serta dokumen dasar berkaitan.
BNM berkata, pelanggaran itu melibatkan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT PD) dan Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Tertentu bagi Institusi Kewangan (AML/CFT dan TFS untuk IF).
Menurut BNM, penalti pertama berjumlah RM1.70 juta dikenakan ke atas BIMB pada 29 Mei 2025 atas kegagalan dalam saringan sekatan (sanction screening).
“Penalti kedua berjumlah RM1.745 juta pula dikenakan pada 30 Jun 2025 akibat gangguan perkhidmatan yang berpanjangan.
“Kedua-dua penalti tersebut telah dibayar sepenuhnya oleh BIMB,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) turut dikenakan penalti sebanyak RM2.85 juta atas ketidakpatuhan terhadap Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA) dan juga RMiT PD.
BNM berkata, penalti tersebut telah dibayar pada 26 Jun 2025.
Dalam kes berasingan, Bank Simpanan Nasional (BSN) turut dikenakan penalti sebanyak RM995,000 bagi pelanggaran yang sama iaitu ketidakpatuhan terhadap DFIA dan RMiT PD.
“Penalti tersebut telah dibayar oleh BSN pada 25 Jun 2025,” katanya lagi
Tindakan tegas itu menunjukkan komitmen BNM dalam memastikan semua institusi kewangan mematuhi undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan demi melindungi kestabilan sistem kewangan negara serta kepentingan pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








