BERITA SEMASAPOLITIK

BERJASA nafi dakwaan parti akan diambil alih Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Parti BERJASA Malaysia (BERJASA) menafikan dakwaan kononnya parti itu berpotensi diambil alih oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan pengumuman pemecatan beliau oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, parti itu kekal teguh dengan agenda Penyatuan Melayu dan Perjuangan Nasional seperti yang telah digariskan.

Menurut beliau, keahlian BERJASA adalah terbuka kepada mana-mana individu dan pihak yang ingin bersama dalam perjuangan parti demi mendaulatkan negara serta mengangkat martabat anak bangsa sebagaimana terkandung dalam rangka Impian Nasional BERJASA 2040.

“Walau bagaimanapun, sebarang permohonan hendaklah melalui proses dan prosedur keahlian yang ditetapkan menurut Perlembagaan Parti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Baca juga : PN akan bincang kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang

Mengulas lanjut, beliau menegaskan setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi atau pertemuan khusus berhubung perkara tersebut.

“Namun demikian, BERJASA sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi memperkukuh agenda kesatuan dan penyatuan Melayu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan berhubung pengambilalihan parti yang disifatkan sebagai tidak benar sama sekali.

Tegasnya, parti berkenaan kekal utuh di bawah kepimpinan Majlis Kepimpinan Tertinggi yang dipilih dan dilantik secara sah menurut Perlembagaan Parti.

Pada masa sama, BERJASA akan terus komited terhadap sasaran dan agenda penyatuan Melayu serta perjuangan nasional yang merangkumi pengukuhan perpaduan dan identiti nasional.
reformasi politik dan kepimpinan negara.

“BERJASA turut komited dalam pemerkasaan ekonomi dan sara hidup rakyat, pembangunan pendidikan dan modal insan, selain penguasaan sains dan teknologi serta alam sekitar yang lebih mandiri dan kedaulatan digital negara.

“BERJASA kekal teguh dengan prinsip, perjuangan dan hala tuju yang telah digariskan demi masa depan negara yang lebih unggul, berdaulat dan bermaruah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button