Zamsaham dakwa tawaran RM300,000 beli Kelantan FC tidak dilayan GSK
KUALA LUMPUR – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) susulan tawaran sebanyak RM300,000 bagi mengambil alih pasukannya.
Menurut Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, tawaran itu disertakan dengan diskaun yang besar serta kesediaan beliau untuk melepaskan majoriti pegangan saham dalam pasukan berkenaan kepada GSK yang diketuai Nik Hafiz Naim Nik Hassan.
“Saya ada berikan pilihan percuma dan jual tetapi GSK (Nik Hafiz dan Kumpulan) tidak terima sebaliknya mahu membeli dan ‘control’ sepenuhnya TRW Kelantan FC.
“Perbincangan daripada RM3 juta akhirnya saya setuju jual majoriti pegangan saham pada nilai RM300,000 tetapi akhirnya tiada jawapan daripada Nik Hafiz.
“Saya ada menghubungi Nik Hafiz juga berkenaan bayaran ini, tapi tiba-tiba senyap,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.
Zamsaham turut mendakwa kegagalan rundingan itu mendorong Nik Hafiz untuk menubuhkan pasukan baharu, Kelantan Red Warriors (KRW), dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL).
“Sebaliknya Nik Hafiz berjumpa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) langsung dan menubuhkan Kelantan Red Warriors.
“Saya melihat KRW ingin menjadi TRW dengan nama Kelantan Red Warriors berserta logo yang menjadi milik rasmi TRW.
“Hari ini orang keliru ada lagi TRW dari Kelantan Darul Naim (KDN). Pada saya kekeliruan ini tidak akan menjadi isu jika pihak AFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggubal suatu undang-undang khusus tentang nama,” katanya.
Dalam pada itu, KRW yang baharu sahaja ditubuhkan berdepan ujian getir apabila dikatakan bakal berhadapan larangan membeli pemain baharu serta berisiko terlepas menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026.
Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang menjelaskan sekatan berkenaan dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








