Yuji Iwasawa dilantik Presiden ICJ yang baharu
THE HAGUE – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengumumkan pelantikan Yuji Iwasawa sebagai Presiden baharu bagi menggantikan Nawaf Salam yang kini menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Lebanon.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan ICJ, hakim berusia 70 tahun itu akan menerajui mahkamah yang berpusat di The Hague sehingga berakhirnya tempoh asal Salam pada 5 Februari 2027.
ICJ merupakan badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berperanan menyelesaikan pertikaian antara negara.
Pelantikan ini berlaku ketika ICJ mengendalikan pendakwaan Afrika Selatan terhadap Israel berhubung genosid yang dilakukan rejim itu ke atas Palestin.
Pada Julai lalu, ICJ memutuskan bahawa penguasaan Israel ke atas wilayah Palestin sejak perang Timur Tengah 1967, termasuk pembinaan penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, melanggar undang-undang antarabangsa.
Mahkamah itu turut mengarahkan Israel agar segera berundur dari wilayah yang didudukinya.
Iwasawa menyertai ICJ pada Jun 2018. Sebelum dilantik sebagai hakim, beliau merupakan profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Tokyo serta pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






