BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAANPMX

Yong Soo Heong terima Anugerah HAWANA 2025

KUALA LUMPUR – Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong diumumkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dalam Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin serta Pengarah Projek HAWANA 2025 merangkap Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.

Menurutnya, anugerah itu bukan kejayaan peribadi, sebaliknya usaha berterusan semua pengamal media memperkukuh integriti dan profesionalisme kewartawanan.

“Anugerah ini saya anggap sebagai penghormatan kepada semua yang telah membimbing dan menyokong sepanjang penglibatan saya dalam dunia kewartawanan. Ini juga adalah pengiktirafan kepada profesion wartawan itu sendiri,” katanya.

Yong memulakan kerjaya wartawan di dua akhbar utama di Pulau Pinang iaitu The Star dan The Straits Echo sebelum menyertai BERNAMA pada 15 Ogos 1974.

Dengan pengalaman hampir empat dekad, beliau menerajui bahagian di BERNAMA termasuk editorial dan pengurusan, serta memperkenalkan panduan penulisan bagi mengekalkan piawaian kewartawanan agensi itu.

Kemahiran Yong melaporkan hal ehwal ekonomi membuka laluan kepada hubungan rapat dengan pemimpin ekonomi negara, termasuk Tan Sri Rafidah Aziz; Tengku Razaleigh Hamzah; Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Beliau memainkan peranan utama dalam penganjuran Persidangan CAPAM di Putrajaya ketika menerajui BERNAMA, sebelum bersara pada 2014.

Meskipun sudah bersara, beliau kekal aktif dalam landskap kewartawanan tanah air menerusi peranan sebagai Presiden MPI, selain menerajui portal berita The Weekly-Echo dan menjadi kolumnis tetap di New Straits Times serta Nanyang Siang Pau.

Penglibatan aktif beliau dalam Jawatankuasa Pro-Tem MMM 2018 menjadi pemangkin kepada penggubalan dan pewartaan Akta Majlis Media Malaysia 2024 satu usaha yang bermula sejak lewat 1960-an.

Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Penyeliaan BERNAMA bagi tempoh 2019 hingga 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Menteri Komunikasi, dalam memastikan agensi berita nasional itu beroperasi mengikut prinsip etika dan perundangan yang sewajarnya.

Anugerah HAWANA diwujudkan sebagai pengiktirafan tertinggi kepada individu atau organisasi yang memberi impak besar dalam pembangunan kewartawanan dan pembentukan wacana masyarakat.

Antara penerima terdahulu ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman (2018), Kumpulan Karangkraf (2022), Datuk Lat (2023) dan James Ritchie (2024).

“Saya berharap BERNAMA kekal sebagai institusi berita yang diyakini rakyat dan dihormati di peringkat antarabangsa.

“BERNAMA perlu jadi organisasi berita yang sentiasa dipercayai, dengan petugas yang dinamik, kreatif dan mampu menghasilkan laporan sahih serta penceritaan yang menarik. Itu adalah asas kepada pengaruh dan keberkesanan sesebuah agensi berita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button