YKM santuni keluarga terjejas Covid-19 di Melaka sempena Deepavali
JASIN – Menjelang sambutan Deepavali yang bakal diraikan pada 20 Oktober ini, Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meneruskan misi kebajikannya dengan menziarahi dua keluarga di Melaka yang kehilangan ahli keluarga akibat pandemik Covid-19.
Kunjungan itu diketuai Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan dua lokasi di Taman Merlimau Utara, Merlimau dan Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang bagi menyantuni keluarga yang masih berdepan kesan kehilangan insan tersayang.
Di Merlimau, YKM menziarahi adik Mittra Selvam, 16, yang kehilangan bapanya, Selvam Subramaniam akibat pandemik Covid-19 pada 27 Februari 2022.

Lebih menyayat hati, Mittra juga terputus hubungan dengan ibunya tiga bulan selepas pemergian bapanya dan kini menumpang teduh di rumah bapa saudaranya, Murugappan Raman.
Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh kerana membantu menyalurkan maklumat mengenai Mittra kepada YKM.
“YKM ditubuhkan untuk membantu anak-anak yang kehilangan tempat bergantung akibat Covid-19. Mereka akan terus dibantu dari segi pendidikan dan kebajikan sehingga tamat pengajian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara YKM dengan wakil rakyat di seluruh negara amat penting bagi mengenal pasti lebih ramai anak-anak yang masih memerlukan perhatian dan bantuan.
Sementara itu, di Taman Bukit Melaka, Ismail Sabri menyerahkan bantuan perayaan kepada Vigneswari Subramaniam yang kehilangan suaminya T. Muthaiah Thangayah pada Mac 2022.
Vigneswari kini membesarkan seorang anak, Sutharshanan Muthaiah, 17, yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi St. David.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid serta Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Ali.
Dalam lawatan berkenaan, YKM mengumumkan bahawa kedua-dua keluarga tersebut akan menerima Bantuan Kasih sebanyak RM250 sebulan, selain bantuan perayaan dan persekolahan bermula bulan ini.
Secara keseluruhan, 10 keluarga berbangsa India di seluruh negara akan menerima bantuan khas sempena perayaan Deepavali yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing bermula esok.
Sehingga September tahun ini, YKM telah menyalurkan lebih RM3 juta menerusi pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Kasih, Bantuan Perayaan dan Bantuan Menara Gading dengan jumlah keseluruhan dijangka mencecah RM5 juta menjelang hujung tahun 2025.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan YKM terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim serta yatim piatu yang terkesan akibat Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput orang ramai menyertai Larian Keluarga Malaysia yang akan berlangsung pada 15 November ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur dengan pelbagai hadiah menarik menanti peserta termasuk Perodua Axia, Honda RS-X dan skuter elektrik FELO M One.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






