BERITA SEMASA

YDPA titah pegawai tinggi tentera jauhi rasuah, salah laku

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan pegawai-pegawai tentera supaya menjauhi amalan salah guna kuasa dan rasuah dalam perkhidmatan sebagai pelindung keamanan dan kedaulatan negara.

Sultan Ibrahim bertitah, tanggungjawab sebagai ketua tinggi dalam angkatan tentera menuntut pengorbanan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi.

Justeru, baginda mengingatkan pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya menjauhkan diri daripada amalan rasuah terutama yang terlibat dalam pembelian aset dan kontrak kerajaan.

Baginda bertitah demikian ketika hadir menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2024 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, pagi tadi.

Istiadat itu melibatkan seramai 664 Pegawai Kadet ATM yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Ahmad Arif Izudin Mohamad Zin.

Turut disampaikan Anugerah Pedang Kehormat dan Piala Khas kepada tujuh Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap Kolej Perkhidmatan dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK-UPNM), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI I) dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai (KTU-SLP).

Setelah selesai perbarisan, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman menyempurnakan pengurniaan watikah tauliah kepada 457 Pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM), 101 Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 106 Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu majlis di Dewan Tun Templer, Akademi Latihan Ketenteraan.

Majlis turut diserikan dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira serta penyerahan skrol ikrar oleh pegawai muda yang baru ditauliahkan.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button