Pesta Kaamatan: Yayasan Keluarga Malaysia santuni keluarga penerima bantuan YKM
KOTA KINABALU – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyantuni keluarga penerima bantuan YKM menerusi ziarah kasih sempena Pesta Kaamatan yang diraikan oleh masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus di Sabah baru-baru ini.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program ziarah itu merupakan acara tahunan YKM yang dilaksanakan sempena musim perayaan bagi Keluarga Malaysia, termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Setiap kali musim perayaan penting, YKM akan mengadakan ziarah kasih dan menghulurkan sumbangan bagi memastikan setiap penerima YKM dapat menyambutnya dengan kegembiraan bersama seluruh ahli keluarga.
“Ziarah kasih hari ini juga membuktikan komitmen berterusan YKM yang bersifat inklusif, tanpa ada mana-mana keluarga yang terkesan akibat COVID-19 terpinggir atau tertinggal daripada menerima bantuan YKM,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kunjungan tersebut, Ismail Sabri melawat beberapa keluarga yang terkesan akibat COVID-19, antaranya Arvina Chris Nolvi dari Kampung Kilirip Kinarut, Papar yang kehilangan suami akibat COVID-19 pada Februari 2022.
Arvina Chris kini bergantung kepada bantuan bulanan YKM untuk membesarkan empat anaknya yang masih bersekolah.

Selain itu, Husidah Ahali dari Kampung Pomotodon Inanam, Kota Kinabalu yang turut kehilangan suami akibat COVID-19 dan menyara empat anak dengan pendapatan hasil jualan kuih-muih sebanyak RM400 sebulan turut menerima kunjungan.
Turut dilawati ialah Maslinah Abdul Manaf dari Kampung Inanam Laut, Kota Kinabalu yang juga kehilangan suami akibat COVID-19 dan kini menggunakan platform jualan dalam talian sebagai sumber pendapatan tambahan selain bantuan YKM.
Baca juga : Enam ‘anak’ YKM catat keputusan cemerlang SPM 2024
Pada masa yang sama, YKM turut menyalurkan bantuan perayaan kepada 14 penerima dari komuniti Dayak sempena sambutan Hari Gawai.
Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri ke-9 berkata, YKM komited untuk berterusan membantu keluarga yang terkesan akibat pandemik tanpa mengira lokasi dan etnik.
Beliau turut menyeru komuniti setempat terutama di kawasan pedalaman supaya membantu menyebarkan maklumat mengenai bantuan YKM kepada mereka yang memerlukan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau memohon bantuan boleh menghubungi YKM melalui emel admin@yayasankeluargamalaysia.org.my (mail to:admin@yayasankeluargamalaysia.org.my) atau hubungi talian 03-22027493.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






