
Yang Di Pertuan Agong selamat jalani rawatan di luar negara
KUALA LUMPUR – Yang Di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan muskuloskeletal yang melibatkan otot dan tulang di luar negara.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini, kesakitan yang dialami Seri Paduka Baginda berpunca daripada latihan ketenteraan intensif serta gaya hidup aktif Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, khususnya sukan polo.
Sebagai sebahagian daripada rawatan tersebut, Seri Paduka Baginda telah berangkat ke luar negara bagi mendapatkan khidmat perubatan terbaik.
Lawatan perubatan itu turut disertai oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang sentiasa berada di sisi Baginda sepanjang tempoh rawatan.
Sebelum berangkat menjalani rawatan pada 7 Februari lalu, Seri Paduka Baginda sempat menghadiri beberapa acara penting dalam negara, termasuk lawatan rasmi ke beberapa negeri serta menghadiri mesyuarat khas bersama barisan kepimpinan negara.
“Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah mengadakan solat hajat serta tidak putus-putus menitipkan doa untuk kesihatan Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan tersebut.
Baginda dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada 21 Februari dan akan meneruskan tugas rasmi selepas menjalani tempoh pemulihan yang disarankan oleh pasukan perubatan.
Sultan Ibrahim yang menaiki takhta sebagai Yang Di Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024, terkenal sebagai seorang pemimpin yang tegas dan berjiwa rakyat, selain mempunyai latar belakang ketenteraan yang kukuh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |