
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah – Ungkapan terakhir pembantu juruterbang nahas Elmina
KUALA LUMPUR – “Ya Allah”, demikian kalimah terakhir yang diungkapkan pembantu juruterbang kapal Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Ogos tahun lalu.
Butiran transkrip rakaman suara nahas yang mengorbankan 10 nyawa itu telah dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menerusi laporan akhir nahas berkenaan pada semalam.
Dalam butiran transkrip tersebut, suara dikenal pasti sebagai pembantu juruterbang itu menyebut ‘lift dump unlock, handle illuminated’ ketika proses pendaratan.
Selepas daripada itu, kedengaran bunyi amaran selama satu setengah saat berpunca daripada pengaktifan ‘lift dump’ yang disusuli dengan suara panik juruterbang utama.
“Woah woah woah woah woah woah woah woah. what’s going on? (apa yang sedang berlaku?).
“Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah,” kata pembantu juruterbang.
Nahas berkenaan kemudian disahkan berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.
Hasil siasatan terperinci dikeluarkan BSKU telah mendedahkan punca utama kemalangan tersebut adalah peluasan secara tidak sengaja daripada ‘lift dump spoilers’ yang kemungkinan besar dilakukan oleh pembantu juruterbang semasa melakukan pemeriksaan sebelum pendaratan.
Tindakan tersebut menyebabkan kehilangan daya angkat secara tiba-tiba, seterusnya mengakibatkan kehilangan kawalan yang dahsyat sehingga berlakunya nahas.
Dalam kejadian pada 17 Ogos tahun lalu, seramai enam penumpang dan dua anak kapal, serta seorang penunggang motosikal p-hailing dan seorang pemandu e-hailing yang melalui kawasan itu terkorban.
Antara mangsa korban termasuklah Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Johari Harun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






