‘Wira Anti Rasuah’ pupuk integriti murid sejak usia muda
KUALA LUMPUR – Nilai integriti dan antirasuah kini mula disemai dalam kalangan generasi muda apabila Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan koleksi komik pendidikan bertajuk Wira Anti Rasuah pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, koleksi komik itu diterbitkan bagi memperkenalkan konsep integriti dan mendidik generasi muda mengenai bahaya amalan rasuah serta kesannya kepada masyarakat dan negara.
“Koleksi komik Wira Anti Rasuah merupakan terjemahan daripada komik asal berbahasa Inggeris bertajuk Bribe Busters: A Trace Comic Book yang diterbitkan oleh TRACE International, sebuah organisasi berpangkalan di Amerika Syarikat yang fokus terhadap piawaian antirasuah global.
“Terdapat tiga siri dalam koleksi ini, masing-masing mengetengahkan isu rasuah dalam konteks berlainan seperti pengeluaran lesen memandu, kelulusan bangunan tanpa piawaian dan penyelewengan projek pembinaan jalan raya,” katanya dalam ucapannya disini hari ini.
“Pendekatan penceritaan melalui kisah keluarga dan peranan ibu bapa juga ditekankan dalam komik ini sebagai asas pembentukan nilai integriti sejak di rumah,” menurut kenyataan hari ini.
Simbolik penyerahan koleksi buku itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Azman Haji Adnan.
Fadhlina turut menyaksikan penyerahan berkenaan dan menyatakan harapan agar bahan bacaan ini mampu menjadi alat bantu pendidikan yang berkesan.
“Kita mahu murid-murid memahami kesan buruk rasuah seawal mungkin dan membesar dengan nilai yang betul. Pendidikan nilai mesti bermula dari kecil,” katanya lagi.
Fadglina turut berkata, penerbitan komik itu juga selaras dengan Strategi Pendidikan di bawah pelan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, yang menggalakkan pembudayaan integriti melalui pendekatan pendidikan di sekolah.
“Koleksi Wira Anti Rasuah akan diedarkan ke semua sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebagai bahan rujukan dan bacaan wajib dalam memupuk nilai murni dalam kalangan murid,” katanya lagi.

Pihak ITBM dan SPRM berharap inisiatif itu bukan sekadar bahan bacaan, tetapi menjadi titik tolak kepada perubahan budaya masyarakat ke arah negara yang lebih telus, adil dan bebas rasuah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








