
Wilayah Persekutuan Harmoni: Kuala Lumpur model perrpaduan negara
KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi utama sambutan Wilayah Persekutuan Harmoni bagi menonjolkan peranan ibu kota sebagai model perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, acara itu bukan sekadar perayaan, tetapi simbol komitmen kerajaan dalam memperkukuh keharmonian masyarakat serta memastikan kesejahteraan sosial rakyat.
“Ketamadunan sesebuah bandar bukan hanya dinilai melalui bangunan pencakar langit atau kemajuan ekonomi, tetapi juga melalui nilai perpaduan, kesejahteraan dan keadilan sosial yang dinikmati rakyat,” katanya dalam ucapannya di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam serta Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah.
Menurut Dr. Zaliha, usaha membasmi kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan menunjukkan hasil positif, apabila 99.9 peratus keluarga miskin tegar berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan sepanjang tahun 2024.
“Pelbagai bantuan diberikan kepada golongan ini, termasuk mendayaupayakan ketua isi rumah agar dapat menceburi bidang perniagaan dan akhirnya menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya lagi.
Selain itu, program Bersih Setiap Tempat (BEST) turut diperkenalkan bagi memastikan kebersihan bandar berada pada tahap terbaik, dengan kerjasama NGO, sektor swasta dan komuniti setempat.
“Baru-baru ini, seramai 1,000 sukarelawan siswa telah turun padang bagi menjayakan program kebersihan di Kuala Lumpur,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Dr. Zaliha menegaskan komitmen kerajaan dalam menangani gejala sosial seperti persundalan dan penjaja tanpa lesen bagi mengekalkan imej Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang dihormati di peringkat antarabangsa.
Dr. Zaliha berkata, Wilayah Persekutuan perlu bersedia menampilkan wajah Malaysia sebagai negara yang progresif dan bersatu padu.
“Wilayah Persekutuan ini adalah cerminan Malaysia. Kita mahu setiap pengunjung yang datang ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan merasai keindahan Malaysia dalam kepelbagaian dan perpaduannya,” katanya lagi.
Sebanyak 60 aktiviti telah dirancang sepanjang bulan ini bagi meraikan semangat kebersamaan dan perpaduan warga Wilayah Persekutuan.
Sambutan Wilayah Persekutuan Harmoni ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar berdaya maju, bersih dan inklusif, sejajar dengan konsep Malaysia Madani.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |