Berita SemasaDalam Negeri

WeChat, TikTok terawal jadi penyedia pesanan Internet, media sosial berdaftar

CYBERJAYA – Tencent (WeChat) dan TikTok menjadi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial terawal memperoleh lesen operasi di negara ini susulan penguatkuasaan pelesenan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok) menjadi antara empat penyedia perkhidmatan yang telah memohon dan berjaya memperoleh lesen.

“Tencent (WeChat telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), menjadikan mereka penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

“Selepas WeChat, ByteDance (TikTok) telah berjaya memperoleh lesen mereka,” menurut kenyataan itu lagi.

MCMC memaklumkan satu lagi penyedia perkhidmatan mesej Internet iaitu Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.

Manakala Meta yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Sementara itu, dua lagi platform media sosial utama iaitu X (dahulunya Twitter) dan Google yang memiliki Youtube belum menghantar permohonan kepada MCMC.

“Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan (8) juta pengguna yang disyaratkan.

“Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X,” katanya.

Menurut MCMC, beberapa perkara telah dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.

elasnya, SKMM telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi kerangka pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa.

“Kami akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan,”ulasnya.

Bermula 1 Januari 2025, perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial perlu mendapatkan lesen di bawah kerangka pelesenan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) seperti yang ditetapkan oleh MCMC.

Tujuan utama pelesenan ini adalah untuk menangani peningkatan jenayah siber seperti penipuan, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Pelaksanaan itu hanya terpakai kepada penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria pelesenan dan tidak melibatkan pengguna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button