
Warga emas maut di Bazar Ramadan
BALING – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba di Bazar Ramadan Taman Seri Harapan, di sini, petang pertama bulan Ramadan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Zainon Said, 75, dari Kampung Banggol Asam, Pulai, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat penyakit kronik yang dihidapinya.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki mangsa yang berusia 51 tahun selepas dia dimaklumkan oleh orang awam mengenai keadaan bapanya di bazar berkenaan.
“Ketua Balai Polis bersama dua anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) segera ke lokasi dan mendapati warga emas itu telah meninggal dunia.
“Hasil temu bual dengan anak mangsa mendapati bapanya mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi serta pernah menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Panjang, Kupang,” katanya memetik laporan BH online.
Menurutnya, mangsa juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kerana mengalami pendarahan usus yang serius dan menerima rawatan selama seminggu.
Azmi berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Maklumat awal mendapati saksi melihat mangsa tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia akibat masalah kesihatan,” katanya lagi.
Mayat mangsa dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Banggol Asam Jawa untuk urusan pengebumian.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |