BERITA SEMASA

Warga emas dihalau dari surau: “Abah saya bukan tidur, cuma tunggu waktu dhuha”

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita yang didakwa menghalau seorang warga emas dari sebuah surau di Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, Selangor baru-baru ini mencetuskan rasa kesal dalam kalangan orang ramai selepas rakaman insiden berkenaan tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi satu minit 38 saat itu, kelihatan seorang wanita menegur seorang lelaki warga emas yang sedang berada di dalam surau selepas solat subuh.

Wanita berkenaan mempersoalkan kehadiran lelaki itu yang didakwanya bukan penduduk kawasan terbabit dan mengaitkannya dengan kejadian kecurian sebelum ini.

Wanita itu turut menyatakan bahawa surau tersebut adalah hak milik bersama penduduk yang menanggung kos utiliti dan penyelenggaraan, sebelum meminta lelaki berkenaan keluar kerana dia mahu mengunci pagar surau.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki dipercayai anak kepada warga emas berkenaan tampil menyuarakan kekesalan terhadap layanan yang diterima bapanya.

“Lelaki yang duduk beriktikaf dalam surau itu adalah abah saya. Setiap pagi, abah ke surau untuk solat subuh.

“Selesai solat, dia akan duduk sekejap, baca al-Quran sambil tunggu masuk waktu dhuha. Lepas solat sunat, baru dia balik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, tindakan wanita terbabit yang merakam video bapanya seolah-olah telah melakukan kesalahan besar amat menyedihkan dan tidak wajar.

“Tak ada adab, tak ada ihsan, tak ada hormat. Saya bukan nak viralkan sesiapa, cuma nak tanya, sejak bila surau jadi tempat eksklusif sampai orang tua pun boleh kena halau?

“Abah saya bukan tidur, bukan buat bising, cuma duduk diam baca Quran. Apa yang salahnya?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan sikap masyarakat yang semakin hilang rasa hormat terhadap warga emas yang ingin mengimarahkan rumah ibadat.

“Kalau begini layanan kita pada orang tua di rumah Allah, apa yang tinggal lagi dalam masyarakat kita?

“Kita jaga surau, ya. Tapi jangan sampai kita hanya jaga bangunan, tapi lupa jaga adab,” katanya lagi.

Dalam pada itu, barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu tampil memberikan penjelasan bahawa wanita berkenaan bukan ahli jawatankuasa surau berkenaan.

“Tindakan menghalau individu tersebut bukan keputusan daripada pihak kami. Kami amat kesal dengan insiden itu dan membantah sekeras-kerasnya,” jelas AJK dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi musolla tersebut.

Menurut mereka, musolla itu sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja untuk beribadah atau berehat seketika, dan sebarang usaha untuk mengunci pagar atau menghalang akses kepada orang ramai tidak akan berlaku.

“Benar, Musolla Halaman 11 adalah harta bersama penduduk. Namun bagi tujuan ibadat, kami tetap membuka ruang ini kepada semua.

“Bil utiliti pula ditanggung hasil infaq orang ramai, bukan hanya daripada penduduk,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button