
Warga Britain hilang di Bangsar, Suruhanjaya Tinggi sahkan bantu keluarga
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia mengesahkan sedang membantu keluarga seorang lelaki warga United Kingdom yang dilaporkan hilang semasa melancong secara solo di negara ini.
Jurucakap suruhanjaya itu berkata, pihaknya sedang memberikan sokongan kepada keluarga lelaki tersebut yang dikenali sebagai Jordan Johnson-Doyle, 25.
“Kami sedang memberikan bantuan kepada keluarga seorang lelaki warga Britain yang dilaporkan hilang di Malaysia,” katanya memetik laporan NST.
Johnson-Doyle kali terakhir dihubungi pada Selasa lalu dan dipercayai berada di Healy Mac’s Irish Bar di Bangsar sekitar pukul 8 malam pada Jumaat.
Ketika itu, dia telah menghantar gambar poster malam kuiz di pub tersebut kepada rakannya.
Sejak itu, tiada sebarang berita diterima mengenainya.
Ibunya, Leanne Burnett, 44, ketika ditemui media Britain, Daily Mail, meluahkan rasa bimbang dan sedih terhadap kehilangan anaknya, beliau kini dalam persiapan untuk terbang ke Malaysia bagi membantu usaha pencarian.
Menurutnya, perbualan terakhir mereka pada 26 Mei berjalan seperti biasa tanpa sebarang petanda mencurigakan.
“Kalau Jordan kehilangan telefon atau komputer riba sekalipun, dia pasti akan cari cara lain untuk hubungi kami,” katanya lagi.
Menggunakan aplikasi Find My iPhone, Burnett berjaya mengesan lokasi terakhir telefon anaknya yang dipercayai berada di sebuah blok pangsapuri berhampiran bar tersebut pada awal pagi Rabu.
Namun begitu, isyarat telefon itu hilang selepas itu dan masih tidak dapat dikesan sehingga kini.
Johnson-Doyle yang bekerja sebagai jurutera perisian dilaporkan telah mengembara ke beberapa negara di Mediterranean dan Asia Tenggara sejak lebih setahun lalu sambil bekerja secara jauh dengan sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Dia tiba di Malaysia pada 17 Mei lalu selepas singgah di Vietnam dan dipercayai menginap di Robertson Residences di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Keluarganya telah membuat laporan kepada polis di England, menghubungi Konsulat Britain serta pihak berkuasa Malaysia, dan turut memaklumkan majikannya mengenai kehilangan itu.
Namun, usaha mendapatkan maklumat lanjut dari tempat penginapan menghadapi kesukaran disebabkan halangan bahasa.
Rakan-rakan dan ahli keluarga turut melancarkan kempen pencarian secara dalam talian, dengan menyebarkan maklumat mengenai Johnson-Doyle di media sosial dan laman sesawang tempatan bagi mengesan keberadaannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








