
Penemuan jenis darah baharu ‘Gwada Negatif’ kejutkan dunia
PARIS – Dunia perubatan digemparkan dengan penemuan jenis darah baharu yang dikenali sebagai Gwada Negatif, apabila seorang wanita dari pulau Guadeloupe di Perancis dikenal pasti sebagai satu-satunya individu yang mempunyai jenis darah tersebut.
Menurut Agensi Bekalan Darah Perancis (EFS) pada 20 Jun lalu, penemuan sistem kumpulan darah ke-48 itu disahkan selepas penyelidikan menyeluruh selama 15 tahun dijalankan ke atas sampel darah wanita berkenaan.
“Sampel darah itu pertama kali dikesan ketika wanita berkenaan menjalani ujian rutin sebelum pembedahan pada tahun 2011.
“Penemuan itu telah diiktiraf secara rasmi oleh Persatuan Transfusi Darah Antarabangsa (ISBT) pada awal Jun dalam satu persidangan di Milan, menjadikannya antara penemuan paling signifikan dalam bidang pemindahan darah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, hanya 47 sistem kumpulan darah diiktiraf secara global.
Pakar biologi perubatan EFS, Dr Thierry Peyrard berkata, pihaknya menemui antibodi luar biasa dalam darah pesakit itu, namun kekangan sumber pada ketika itu menghalang siasatan lanjut.
“Antibodi yang ditemui itu tidak pernah dikenal pasti sebelum ini. Ia benar-benar luar biasa dan mengelirukan kami ketika itu.
“Misteri ini akhirnya terungkai pada 2019 menerusi ujian DNA berkepekaan tinggi yang mendedahkan kewujudan mutasi genetik,” jelasnya.
Menurut beliau, pesakit itu mewarisi gen bermutasi daripada kedua-dua ibu bapanya, sekali gus menjadikan wanita itu sebagai satu-satunya pembawa ‘Gwada negatif’ di dunia.
“Secara genetik, wanita ini hanya serasi dengan dirinya sendiri. Tiada individu lain berkongsi jenis darah sepertinya,” ujarnya.
Nama ‘Gwada negatif’ dipilih merujuk kepada asal usul pesakit dari Guadeloupe dan dipersetujui pakar kerana sebutannya mudah dalam pelbagai bahasa.
“Penemuan baharu ini disifatkan sebagai kemajuan besar dalam bidang transfusi darah dan genetik serta membuka cabaran baharu kepada aspek keserasian pemindahan darah.
“Ini bukan sahaja unik dari sudut perubatan, malah membuka cabaran besar terhadap prosedur pemindahan darah di masa hadapan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |