
Wanita maut, suami dan tiga anak cedera dalam kemalangan di Kuantan
KUANTAN – Seorang wanita maut manakala suami dan tiga anaknya cedera selepas kereta dinaiki lima sekeluarga itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pintasan Kuantan, berhampiran Taman Pertanian Jubli Perak pada Selasa, kira-kira pukul 4 petang.
Mangsa, Khaltom Mohamad Danyan, 41, yang berasal dari Paka, Terengganu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota sekitar pukul 10.20 malam pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suami mangsa, Mohd Balkini Sofian, 45, yang juga imam di Masjid Jamek Paka, bersama dua anak mereka, Ahmad Luqmanul Hakim, 20, dan Ahmad Warash Tasyriq, 6, kini dirawat di zon kuning hospital berkenaan.
“Seorang lagi anak mangsa, Nur Ainul Mardhiah, 8, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah,” katanya.
Sementara itu menurut Wan Mohd Zahari, pemandu lori jenis Hino berusia 30 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Siasatan awal mendapati keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Paka selepas menjemput anak mereka, Ahmad Luqmanul Hakim dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta Proton Saga berhenti di bahu jalan untuk membeli jambu di sebuah gerai di seberang jalan.
“Pasangan suami isteri itu sedang melintas jalan apabila lori yang datang dari arah yang sama dipercayai hilang kawalan dan merempuh mereka serta kenderaan yang berhenti di tepi jalan,” katanya.
Ketiga-tiga anak mereka berada di dalam kereta ketika kejadian.
Semua mangsa telah dihantar ke pusat perubatan terdekat untuk rawatan, namun Khaltom tidak dapat diselamatkan.
“Hasil ujian air kencing mendapati pemandu lori positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |