BERITA SEMASA

Wanita Jepun maut jatuh bangunan disahkan isteri Ridz Okumura

SHAH ALAM – Polis Selangor mengesahkan identiti wanita warga Jepun yang maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya pada Jumaat lalu sebagai isteri kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridz Okumura.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun pihaknya masih meneruskan siasatan.

“Walaupun mati mengejut, siasatan kita sama, kita akan melihat sama ada wujud unsur jenayah, tindakan sendiri atau sebagainya.

“Jika dikesan ada unsur jenayah, baru kita klasifikasikan semula kes ini di bawah kesalahan jenayah.

“Jadi, saya minta orang ramai tidak memberi sebarang komen negatif terhadap kes ini tanpa mengetahui sebarang kesahihan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Hussein menambah, pihaknya juga sudah mengambil keterangan Ridz Okumura atau nama sebenarnya, Abd Ridzuan Abdul Mutalib.

Laporan media sebelum ini menyebut, pempengaruh itu memberitahu bahawa isterinya, Akiko Okumura telah meninggal dunia.

“Alfatihah buat arwah isteri saya, Akiko Okumura, telah pergi meninggalkan saya dan anak saya selamanya. Alfatihah,” kata Ridz dalam hantaran di akaun Instagram miliknya.

Dalam kejadian 28 Februari lalu, seorang wanita warga Jepun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam satu kenyataan berkata, mangsa adalah seorang wanita warga Jepun, dipercayai berusia 50-an sudah meninggal dunia, dalam keadaan tertiarap di atas tanah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button