BERITA SEMASA

Wanita 46 tahun ditahan seludup beras, warga Thailand dicekup bolos sempadan

PASIR MAS – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan beras berjumlah lebih 1,000 kilogram (kg) di sebuah pengkalan haram di Perdah 1 di sini, semalam.

Tangkapan dan rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota BN 9 PGA kira-kira pukul 11 malam melalui Op Taring Wawasan Kelantan selepas menemukan sebuah kereta yang digunakan untuk tujuan penyeludupan.

Briged Tenggara dalam kenyataan berkata, pemeriksaan mendapati lebih 1,000 kg beras dipercayai cuba diseludup dari Thailand di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang tidak mempunyai dokumen sah.

“Suspek seorang wanita Melayu berumur 46 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup beras tersebut ke pasaran tempatan.

“Anggaran rampasan kenderaan bernilai RM 10,000 manakala beras bernilai RM5,320 dan kes disiasat dibawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994,” katanya.

Suspek wanita berusia 46 tahun yang ditahan ketika penyeludupan beras seberat lebih 1,000 kg di Pasir Mas, Kelantan.

Sehubungan itu, suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan Gerakan Am berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.

Seorang lelaki warga Thailand yang berjaya diberkas selepas menceroboh sempadan negara tanpa dokumen yang sah di Tumpat, Kelantan.

Sementara itu di Tumpat, Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki masuk ke Malaysia secara haram melalui Kampung Pulau Ular, Tumpat.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota BN 8 PGA pada pukul 11.30 pagi selepas mengesan sebuah bot dari Thailand yang menurunkan penumpang di bawah jambatan di Kampung Pulau Ular.

“Pemandu bot melarikan diri dan meninggalkan penumpangnya setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek disyaki warganegara Thailand gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan masuk ke Malaysia melalui pengkalan haram,” katanya.

Suspek ditahan bawah Sek 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button