BERITA SEMASA

Wang tak dituntut cecah RM12.7 bilion, orang ramai digesa buat semakan

KUALA LUMPUR – Jumlah baki Wang Tak Dituntut (WTD) yang direkodkan sehingga 31 Januari lalu mencecah RM12.7 bilion, menurut Kementerian Kewangan.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, kementerian itu memaklumkan bahawa individu atau waris yang berhak boleh mengemukakan permohonan tuntutan secara dalam talian melalui portal rasmi eGUMIS (https://egumis.anm.gov.my/) atau hadir ke kaunter Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di setiap negeri.

Bagi memudahkan urusan semakan dan tuntutan, JANM menyediakan pelbagai kaedah termasuk melalui portal eGUMIS dan kaunter fizikal di pejabat JANM.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, pelbagai inisiatif telah diambil bagi memaklumkan pemilik atau waris mengenai WTD, antaranya menerusi kempen kesedaran dalam program kerajaan dan swasta seperti Program Madani Rakyat, hari terbuka, serta hari pelanggan jabatan kerajaan.

“Ini bagi membolehkan orang ramai membuat semakan sama ada mereka mempunyai wang yang masih belum dituntut.

“Sehingga 2024, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran telah diadakan di seluruh negara bagi menyebarkan maklumat mengenai WTD dan tatacara tuntutannya,” katanya lagi.

Selain itu, JANM turut mengadakan taklimat secara dalam talian kepada agensi kerajaan dan swasta bagi menerangkan kaedah semakan serta prosedur tuntutan.

“Perluasan perkhidmatan Kaunter Semakan dan Bayaran Balik WTD juga telah dilaksanakan, selain hebahan berkala menerusi saluran televisyen nasional,” tambah kenyataan itu.

Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa usaha akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pemilik atau waris dapat menuntut wang mereka dengan mudah dan cepat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button