Wan Rosdy terima Ijazah Kehormat PhD daripada Universiti Yarmouk
KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan oleh Universiti Yarmouk, Jordan semalam.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden Universiti Yarmouk, Profesor Dr Islam Massad, sebagai penghargaan atas sumbangan Wan Rosdy dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri Pahang dan institusi pendidikan itu.
Menurut Wan Rosdy, hubungan antara Pahang dan Universiti Yarmouk bermula sejak 2001 menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan universiti berkenaan.
“Selepas 14 tahun, kerjasama ini diperkukuh menerusi pemeteraian MoU Kursi Pahang yang berlangsung hari ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Setakat ini, seramai 363 anak Pahang telah menamatkan pengajian di Universiti Yarmouk, manakala 78 lagi masih melanjutkan pengajian di sana.
Wan Rosdy turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan akademik itu boleh diperluas kepada bidang penyelidikan bersama, inovasi dalam ekonomi Islam, teknologi hijau dan pembangunan lestari.
“Saya berharap lebih ramai anak Pahang akan mengambil peluang melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk dan menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama itu juga diharap dapat memperkukuh bidang penyelidikan dan pembangunan berasaskan nilai Islam serta prinsip Maqasid Syariah, sekali gus menjadikan Pahang sebuah negeri yang berjaya dan berdaya saing di peringkat nasional dan global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






