
[VIDEO] Pendidikan KAFA perlu sentiasa dinamik, progresif – Fadillah
PUTRAJAYA – Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) perlu sentiasa dinamik dan progresif selari dengan peredaran zaman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini adalah kerana pendidikan KAFA memainkan peranan penting dalam mendidik modal insan negara menjadi manusia yang berakhlak tinggi.
@malaysiatribune Oleh kerana kepentingannya dalam pendidikan modal insan negara, KAFA perlu bersedia menerima perubahan supaya selari dengan peredaran masa. #malaysiatribune
“Kita harus sedar bahawa landskap pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Anak-anak murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar memiliki modal insan yang berkualiti dan berakhlak mulia.
“Ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan dalam konteks ini, NKRA merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat bagi memantapkan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Fadillah berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Al-Qur’an dan Fardhu Ain (UPKK) dan Sambutan Hari Guru Institut Pendidikan Islam Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2024, di sini malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Fadillah turut berkata, amal urus tadbir pendidikan KAFA perlu sentiasa diberi fokus dan dipertingkatkan dalam membantu usaha Kementerian Pendidikan (KPM) melengkapkan nilai modal insan cemerlang.
Ketika menyentuh mengenai peranan guru, Fadilah berkata golongan tersebut turut perlu perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.
“Ini terutamanya dalam usaha merangsang minda, menguji daya kreativiti dan inovasi, mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan mengasah ketajaman penaakulan para murid,” katanya lagi.
Majlis malam tadi diadakan dengan tujuan meraikan kejayaan murid dan menghargai jasa guru yang telah memberikan sumbangan dan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sekali gus mengharumkan nama sekolah dan mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2023.
Selain itu, majlis tersebut turut meraikan 666 orang murid cemerlang dalam peperiksaan UPKK tahun lepas yang berjaya memperoleh 8A bagi zon Putrajaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






