
Video ‘KKK’ di UiTM Dengkil hanya subjek akademik
SHAH ALAM – Tindakan sekumpulan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM)
cawangan Dengkil berpakaian ala kumpulan Ku Klux Klan (KKK) yang tular di media sosial adalah sebahagian tugasan akademik yang dilakukan secara tertutup.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, perlakuan tersebut tidak bertujuan mencetuskan provokasi sebaliknya adalah sebahagian daripada kursus Contemporary Global and Legal Issues.

Katanya, peragaan pakaian yang mirip kumpulan KKK itu bertujuan memupuk pemikiran kritikal serta kesedaran tentang isu hak asasi manusia.
“Pelajar memilih untuk membentangkan isu diskriminasi kaum dan kebencian berdasarkan warna kulit, satu bentuk pelanggaran hak asasi yang pernah berlaku di beberapa negara.
“Penggunaan kostum dan elemen visual bertujuan meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kaedah penyampaian visual itu adalah pendekatan pedagogi yang menyokong penyampaian berimpak tinggi, seiring dengan objektif kursus yang menekankan pemikiran analitik dan kesedaran sivik.
Shahrin turut menegaskan bahawa pembentangan dikendalikan secara terkawal oleh pensyarah dan pihak fakulti, tanpa menyentuh sensitiviti agama, budaya atau perkauman.
“Tiada unsur penghinaan terhadap mana-mana agama dibincangkan sepanjang sesi tersebut.
“Kami berharap penjelasan ini dapat mengelakkan salah faham dan memberi gambaran sebenar mengenai tugasan itu,” jelasnya.
Beliau turut menekankan komitmen UiTM untuk terus memperkasakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dengan menitikberatkan nilai toleransi, saling menghormati dan kepekaan budaya dalam semua aktiviti akademik dan kokurikulum.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |