UUM perjelas isu batal penggunaan dewan, nafi kaitan politik
SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menegaskan keputusan tidak membenarkan penggunaan Dewan Mu’adzam Shah bagi Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) dibuat lebih awal susulan kerosakan struktur bumbung dewan berkenaan akibat hujan lebat, dan bukannya secara tergesa-gesa seperti didakwa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihak pengurusan universiti telah memutuskan pada 1 Disember lalu bahawa dewan tersebut tidak selamat digunakan untuk penganjuran program berskala besar buat sementara waktu.
Menurut beliau, dakwaan bahawa perubahan lokasi dibuat hanya dua hari sebelum majlis berlangsung adalah tidak tepat.
“Keputusan itu dibuat lebih awal demi faktor keselamatan dan bukannya pada saat akhir seperti yang diperkatakan oleh pihak tertentu,” katanya ketika memberi penjelasan rasmi di sini hari ini.
Ahmad Martadha, yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, mengulas perkara itu susulan pertanyaan dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selaku Pengerusi SADA berhubung pembatalan penggunaan Dewan Mu’adzam Shah bagi majlis graduasi berkenaan.
Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam ucapan perasmian Majlis Graduasi SADA yang berlangsung di sebuah dewan di Titi Gajah, Alor Setar melahirkan rasa kesal terhadap pengurusan UUM dan mendakwa pembatalan penggunaan dewan dibuat pada saat akhir, selain mengaitkannya dengan perbezaan fahaman politik.
Mengulas dakwaan itu, Ahmad Martadha berkata, kritikan berkenaan tidak menggambarkan keadaan sebenar dan kemungkinan berpunca daripada maklumat yang tidak tepat.
“Pihak UUM telah mengambil pelbagai langkah termasuk mencadangkan lokasi alternatif iaitu Hotel EDC untuk digunakan oleh SADA bagi penganjuran majlis tersebut,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan itu selaras dengan notis edaran melalui emel kepada semua staf UUM pada 7 Mac lalu yang memaklumkan Dewan Mu’adzam Shah, Teater Eksperimen dan Dewan Tan Sri Othman terlibat dalam projek menaik taraf serta kerja pembaikan infrastruktur termasuk penggantian bumbung, bermula 14 Mei hingga 14 November 2027.
Katanya, kerja-kerja berkenaan hanya ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada Majlis Konvokesyen UUM pada November lalu.
Menurut beliau, sebagai institusi pengajian tinggi awam, UUM bertanggungjawab memastikan tahap keselamatan semua fasiliti berada pada tahap terbaik sebelum digunakan oleh orang ramai.
“Keselamatan dan keselesaan keluarga besar SADA yang hadir ke majlis itu menjadi keutamaan kami. Atas sebab itu, penggunaan Dewan Mu’adzam Shah tidak dapat dipertimbangkan bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan UUM tetap memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran Majlis Graduasi SADA dengan menyediakan bantuan termasuk pinjaman jubah, sebahagian kerusi serta kemudahan lain bagi memastikan kelancaran majlis.
“UUM menghargai hubungan baik dengan SADA dan sentiasa komited untuk bekerjasama dalam pelbagai program bersama rakan strategik dan masyarakat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








