BERITA SEMASA

UUM terus unggul, juara debat koperasi IPT dua tahun berturut-turut

PETALING JAYA – Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2025 buat kali kedua berturut-turut.

Dua pendebat UUM, Farah Aulia Ahmad Sanusi dan Nadjween Hanie Mohd Mayan, yang kedua-duanya merupakan pelajar jurusan undang-undang tampil cemerlang dengan hujah bernas dalam membahaskan isu koperasi.

“Perasaan kami sangat gembira dan bersyukur. Ini adalah satu kepuasan besar kerana segala usaha kami sepanjang latihan dan semasa pertandingan telah membuahkan hasil.

“Kemenangan ini bukan sekadar untuk UUM, tetapi untuk seluruh pasukan yang telah bekerja keras secara kolektif,” kata Farah ketika ditemui Malaysia Tribune selepas majlis penutupan pertandingan debat itu di Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini hari ini.

Baca juga : Debat koperasi IPT cerminkan kesediaan mahasiswa pimpin ekonomi negara – Ewon

Pertandingan yang melabuhkan tirainya hari ini menghimpunkan 48 pendebat daripada 23 pasukan mewakili 18 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan lima institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pasukan debat UUM berjaya menewaskan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pusingan akhir yang berlangsung sengit di Auditorium IKMa.

Tempat ketiga menjadi milik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), manakala Universiti Malaysia Sabah (UMS) berada di tempat keempat.

UUM
Wakil pendebat UUM, Farah Aulia Ahmad Sanusi (kanan) bersama Nadjween Hanie Mohd Mayan. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Menurut Najwa pula, kejayaan mempertahankan gelaran membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka dalam memperjuangkan topik yang jarang diketengahkan, khususnya dalam bidang koperasi.

“Topik koperasi bukan isu biasa yang sering diperdebatkan. Tapi pertandingan ini membuka mata kami bahawa koperasi adalah pemacu ekonomi berimpak tinggi, bukan sekadar saluran kebajikan sosial.

“Sebelum ini, kami fikir koperasi lebih kepada membantu ahli dari segi sosial dan kebajikan tapi sekarang, kami nampak koperasi juga boleh menjana keuntungan dan berperanan dalam pembangunan ekonomi yang menyeluruh,” katanya.

Koperasi
Pendebat lelaki terbaik, Emmed Erwan Shah. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP), Emmed Erwan Shah, 21, dari jurusan teknologi maklumat, diumumkan sebagai pendebat terbaik bagi kategori lelaki.

“Usul paling mencabar bagi saya adalah peranan koperasi dalam pembangunan global inklusif. Ia benar-benar menguji sejauh mana kita mampu menyesuaikan prinsip koperasi dalam konteks dunia yang semakin kompleks,” ujarnya.

Mengulas mengenai peranan belia dalam memperkukuh institusi koperasi di Malaysia, Emmed percaya belia memainkan peranan besar dan penting kerana merekalah yang akan mencorak hala tuju negara, termasuk dalam sektor koperasi.

“Belia hadir dengan idea-idea baharu dan perspektif segar, terutamanya dalam dunia digital yang pantas berubah.

“Dengan adanya teknologi, pemasaran melalui media sosial seperti TikTok, dan pelbagai platform digital lain, model perniagaan koperasi juga perlu beradaptasi dan berkembang seiring trend semasa,”jelasnya.

Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi IPT 2025 dianjurkan IKMa dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai platform membina pemimpin koperasi muda yang berdaya saing, kritis dan celik ekonomi.

Pertandingan ini juga menjadi pentas penting untuk menyemai pemahaman mendalam mengenai potensi koperasi dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan aspirasi Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM 2021-2025).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button