Berita Semasa

UTM, UMPSA umum Naib Canselor baharu

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal diterajui Naib Canselor baharu bermula Januari ini, seperti diumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

KPT dalam kenyataannya memaklumkan, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dilantik sebagai Naib Canselor UTM berkuat kuasa 9 Januari 2025 bagi tempoh dua tahun.

Mohd Shafry, 49, merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Spatial Modelling daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2008.

Beliau pernah memegang jawatan strategik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM sejak 2023 serta berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti.

Sementara itu, UMPSA bakal diterajui Prof. Dr. Yatimah Alias, 55, yang dilantik sebagai Naib Canselor bermula 13 Januari ini.

Beliau merupakan pakar dalam bidang Electrokimia dan Cecair Ion dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia.

Sebelum ini, Dr. Fatimah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaya (UM) sejak 2022, selain memegang jawatan strategik antaranya Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM.

KPT yakin kedua-dua tokoh ini mampu membawa UTM dan UMPSA ke tahap lebih tinggi melalui pembangunan akademik dan penyelidikan.

“Pelantikan ini diharap melahirkan graduan berminda global, kreatif, inovatif, serta bersedia menghadapi cabaran industri,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menzahirkan penghargaan kepada mantan Naib Canselor UTM, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan mantan Naib Canselor UMPSA, Datuk Prof. Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin di atas jasa mereka menerajui universiti masing-masing sebelum ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button