Berita SemasaDalam Negeri

Utamakan keselamatan menjelang Aidilfitri 2025

KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berwaspada dan mengutamakan keselamatan dalam perjalanan pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan lonjakan jumlah kenderaan yang ketara di lebuh raya dan jalan persekutuan sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

“Menurut unjuran PLUS Malaysia Berhad, trafik harian dijangka meningkat hampir 20 peratus, mencecah 2.2 juta kenderaan sehari.

“Trafik di jalan persekutuan dan negeri dijangka meningkat antara 15 peratus hingga 25 peratus.

“Peningkatan trafik bukan sahaja memberi tekanan kepada sistem jalan raya, tetapi juga meningkatkan risiko kemalangan akibat keletihan pemandu, kesesakan di hentian rehat dan rawat (R&R), serta pelanggaran peraturan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar mengamalkan sikap bertimbang rasa, mengelakkan pemanduan agresif dan tidak tergesa-gesa dalam perjalanan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Tidak ada yang lebih bermakna daripada melihat wajah insan tersayang menyambut kepulangan kita dengan senyuman, bukan dengan air mata,” tambahnya.

Sementara itu beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button