BERITA SEMASA

USV Swift Sea Stalker mampu tingkatkan keupayaan TLDM

LANGKAWI – Platform tanpa pemandu permukaan laut, Unmanned Surface Vehicle (USV) Swift Sea Stalker (S3) yang diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini dijangka mampu mempertingkatkan lagi keupayaan pasukan keselamatan negara.

USV S3 tersebut diserahkan oleh Naib Presiden Eksekutif Swiftships, Kristina Paskeviciute, kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain di Pavilion TLDM sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA‘25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; serta pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penyerahan USV S3 turut menjadi pelengkap kepada langkah transformasi digital TLDM selepas kejayaan penubuhan Skuadron 601 yang mengoperasikan Unmanned Aerial System (UAS) ScanEagle.

Swift Sea Stalker (S3) dibangunkan oleh Swiftships, sebuah syarikat pertahanan maritim yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Aset tersebut beroperasi di permukaan laut dan boleh dilengkapkan dengan pelbagai sistem persenjataan untuk meningkatkan keupayaan daya cegah rintang.

Penerimaan platform itu turut membuka jalan kepada penerokaan lebih luas dalam penggunaan teknologi tanpa pemandu dan pada masa yang sama memperkukuh keupayaan operasi TLDM khususnya dalam bidang peperangan maritim, pengawasan, dan perisikan strategik.

Ia selari dengan visi ATM melalui Pelan Pembangunan Angkatan Masa Hadapan yang menekankan aspek kecanggihan dan keberkesanan teknologi pertahanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button