Berita Semasa

Ustaz Zarifi kini stabil, namun perlu rehat dan pemantauan doktor

KUALA LUMPUR – Penceramah terkenal, Ustaz Zarifi yang dikejarkan ke sebuah hospital di Serdang untuk rawatan kecemasan selepas kesihatannya dilaporkan lemah sebaik selesai menyampaikan kuliah pagi tadi kini berada dalam keadaan stabil.

Perkara itu dimaklumkan adiknya, Mohd Hariri Mohamad Daud sebentar tadi.

“Kekanda yang kami dikasihi, Ustaz Zarifi telah dikejarkan ke hospital pagi ini. Sejurus menamatkan kuliah subuh di kawasan perumahannya, beliau berkeadaan lemah dan dibawa oleh jemaah surau ke klinik untuk mendapat rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital.

“Setelah menjalani prosedur rawatan kerana bacaan tekanan darah yang agak tinggi, beliau diberi rawatan secukupnya dan kini dalam keadaan stabil namun memerlukan rehat serta dipantau oleh doktor.

“Buat masa ini, doktor menasihatkan agar beliau diberi rehat yang cukup,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Ustaz Hariri

Dalam pada itu beliau yang mewakili keluarganya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada jemaah surau yang membantu dan semua sahabat yang tidak putus putus bertanya khabar serta mendoakan Ustaz Zarifi.

“Terima Kasih semua. Allah jua yang membalas budi baik kepada kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu tular, Ustaz Zarifi Ustaz atau nama sebenarnya, Mohd Zarifi Mohamad Daud dikejarkan ke hospital akibat pendarahan dalam kepala pagi tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button