
USS Nimitz tinggalkan Asia Tenggara, lawatan ke Vietnam dibatalkan
WASHINGTON – Kapal perang USS Nimitz meninggalkan Asia Tenggara semalam selepas membatalkan lawatan ke Vietnam, berikutan ketegangan konflik antara Iran dan Israel.
Keputusan tersebut dibuat ketika Pentagon mengumumkan penghantaran ‘tambah aset ketenteraan’ ke Asia Barat bagi memperkukuhkan kehadiran tenteranya di rantau itu.
Menurut laman pengesanan kapal Marine Traffic, USS Nimitz melalui Selat Melaka dan menuju ke Lautan Hindi pada pukul 13:45 GMT.
Seorang pegawai kerajaan Vietnam mengesahkan kepada AFP, majlis yang sepatutnya diadakan di atas kapal USS Nimitz pada 20 Jun di Danang dibatalkan akibat keperluan operasi yang mendesak.
Surat yang diterima dari Kedutaan Amerika Syarikat mengesahkan pembatalan acara tersebut yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 23 Jun.
Pergerakan kapal induk terbesar itu berlaku pada hari keempat konflik udara yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.
Setakat ini, tiada tanda perang tersebut akan berakhir walaupun terdapat gesaan antarabangsa untuk menghentikannya.
Pada masa yang sama, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, mengumumkan Amerika Syarikat sedang memperkukuhkan kehadiran tenteranya di Asia Barat dengan menghantar aset ketenteraan tambahan ke Komando Pusat AS (CENTCOM).
Menurut pihak berkuasa Iran, serangan Israel telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 224 kematian termasuk komander tentera, saintis nuklear dan orang awam.
Sebagai tindak balas, Iran menyerang Israel dengan peluru berpandu dan memberi amaran untuk melancarkan operasi yang lebih berkesan, bersasar dan lebih dahsyat.
Sementara itu, Duta AS ke Israel, Mike Huckabee berkata, serangan peluru berpandu Iran mengakibatkan kerosakan kecil pada bangunan yang digunakan kedutaan AS di Tel Aviv.
Dalam perkembangan lain, Presiden AS, Donald Trump, yang kini berada di Kanada untuk Sidang Kemuncak G7, mengeluarkan amaran yang tidak dinyatakan secara terperinci dengan mengatakan akan mengambil tindakan sebaik sahaja kembali ke AS.
“Sebaik sahaja saya pulang, kami akan melakukan sesuatu,” ujar Trump kepada pemberita.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |