BERITA SEMASA

Usaha teroka pasaran baharu jamin pendapatan komuniti luar bandar – TPM Zahid

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memandang serius cabaran yang dihadapi komuniti desa akibat ketidaktentuan perdagangan global.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramai penduduk luar bandar secara tidak langsung bergantung kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E), kelapa sawit, getah serta pertanian, dengan Amerika Syarikat (AS) merupakan antara pasaran utama negara.

“Saya yakin usaha kerajaan bukan sahaja berunding mengurangkan tarif, tetapi juga membuka pasaran baharu di ASEAN, Timur Tengah, Mesir, Pakistan dan Kemboja amat penting bagi melindungi pendapatan dan kelangsungan hidup mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyokong penuh langkah-langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani pengenaan tarif balas oleh AS ke atas Malaysia.

Katanya, langkah Kerajaan MADANI melalui penubuhan National Geo-Economic Coordination Centre (NGCC) adalah bukti komitmen kerajaan dalam mempertahankan kepentingan negara, serta memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh.

Tambah Ahmad, KKDW bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) akan memastikan usahawan halal, khususnya di desa akan terus menembusi pasaran global.

“InsyaAllah, RM50 juta telah diperuntukkan kepada MATRADE untuk mempercepat usaha ini dan membuka akses ke pasaran antarabangsa yang lebih luas,” katanya.

Selain itu, Ahmad turut melahirkan rasa syukur atas peruntukan RM1 bilion untuk penaiktarafan sempadan Sabah dan Sarawak-Kalimantan, serta had sebut harga dinaikkan RM1 juta ke RM3 juta.

“Ini secara langsung akan memperlihatkan pembinaan sekolah, klinik, jalan, dan tebatan banjir dapat dipercepat serta membuka lebih banyak peluang kerja untuk kontraktor kecil dan pekerja di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam sektor pembangunan halal pula, Ahmad berkata, Malaysia akan terus diyakini menerajui industri halal dunia dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada 2024.

Beliau berkata, nilai tersebut meningkat 15 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengekalkan kedudukan nombor satu dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.

“Namun, kelembapan ekonomi global akibat dasar tarif ini dijangka menjejaskan permintaan antarabangsa terhadap pelbagai produk eksport, termasuk barangan Halal, pada masa yang sama memberi tekanan kepada penggiat industri tempatan.

“Justeru, usaha mempergiat meneroka pasaran baharu, khususnya di GCC dan Asia Selatan, melalui padanan perniagaan dan penyertaan dalam ekspo antarabangsa akan memangkin pertumbuhan eksport, membuka peluang baharu untuk usahawan tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab Halal global,” katanya.

Bagi bidang TVET, Ahmad selaku Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, beliau sedar bahawa cabaran dalam sektor E&E akan memberikan kesan langsung terhadap keperluan modal insan berkemahiran tinggi.

Justeru, beliau beriltizam untuk memperkukuh institusi-institusi TVET negara agar dapat membina lebih banyak kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan pendigitalan.

“Keutamaan kita adalah untuk memastikan lebih ramai belia desa mendapat akses kepada latihan TVET yang relevan dan berkualiti, seterusnya meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor-sektor bernilai tinggi yang akan memacu ekonomi masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Malaysia kini berada pada landasan kukuh dengan KDNK 2024 mencatat 5.1 peratus, defisit fiskal menurun, inflasi stabil.

Tegas beliau, kerajaan komited melaksanakan agenda reformasi seperti NIMP 2030, NETR, dan pendigitalan negara tanpa menjejaskan prinsip utama termasuk hak Bumiputera, keperluan vendor tempatan dan perlindungan sektor strategik.

“Saya percaya, setiap langkah yang kita ambil adalah demi melindungi rakyat, khususnya komuniti desa, agar terus teguh menghadapi ketidaktentuan global.

“Marilah kita rapatkan saf, memupuk solidariti nasional, dan bersama-sama merealisasikan agenda pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI, demi membina Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button