Berita Semasa

Usaha menyelamat mangsa kebakaran paip saluran minyak giat dijalankan

SUBANG JAYA – Usaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap di kawasan kebakaran membabitkan saluran paip gas sepanjang 500 meter di stesen minyak Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini, hari ini sedang giat dijalankan.

Menurut Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (SSOC) yang memetik sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, beberapa rumah di kawasan Kampung Kuala Sungai Baru telah terbakar dengan anggaran rumah yang terkesan masih belum dikenal pasti.

“Terdapat juga mangsa yang terperangkap di dalam rumah. Usaha menyelamatkan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang berusaha memadamkan kebakaran membabitkan saluran paip gas sepanjang 500 meter di stesen minyak berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dilaporkan berkata, pasukan membabitkan kekuatan 62 pegawai dan anggota sedang bertungkus lumus memadamkan api yang marak.

Menurutnya, pasukan dengan sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan, Klang Utara serta Damansara membantu operasi itu.

Sementara itu, tambah kenyataan SSOC lagi, mangsa yang telah diselamatkan telah dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Height.

“Terdapat beberapa mangsa yang melecur sedang menunggu ambulans untuk mendapatkan rawatan, manakala buat masa kini, pihak masjid sedang membantu mangsa,” katanya.

Difahamkan, stesen minyak Petronas tidak terbakar, akan tetapi hanya salur gas utama yang terbakar dan ia telah ditutup bagi menunggu gas habis untuk padam sepenuhnya.

Dalam pada itu, jumlah mangsa terbabit dalam insiden kebakaran itu masih tidak dapat dipastikan lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button