
URA bukan projek mewah, tapi penyelesaian perumahan rakyat – Syerleena
KUALA LUMPUR – Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) tidak wajar dianggap sebagai usaha penggentrifikasian atau pembangunan kondominium mewah, sebaliknya merupakan inisiatif untuk menyediakan perumahan yang selamat dan bermaruah kepada rakyat.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, akta itu akan menyediakan kerangka undang-undang yang telus dan menyeluruh bagi membolehkan kawasan perumahan bandar yang uzur dibaik pulih secara sistematik.
“Akta ini bukan tentang kondominium mewah atau penggentrifikasian. Ia tentang memastikan rakyat Malaysia biasa mendapat akses kepada perumahan yang selamat, bermaruah dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, banyak kawasan di bandar terutama di Lembah Klang dan Pulau Pinang sedang berdepan kerosakan infrastruktur, sistem pendawaian usang, lif rosak serta keadaan persekitaran yang tidak sihat.
“Rifle Range di Pulau Pinang sebagai contoh, suatu ketika dahulu model perumahan awam progresif, kini menghadapi pelbagai masalah fizikal dan keselamatan.
“Permohonan bantuan berlarutan bertahun-tahun tanpa penyelesaian kerana tiada mekanisme undang-undang nasional yang kukuh,” katanya lagi.
Syerleena turut menempelak sikap pembangkang yang didakwa cuba membangkitkan isu kaum untuk menolak URA, walaupun hak-hak orang Melayu telah dijamin sepenuhnya dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah menjemput wakil rakyat pembangkang untuk turun padang meninjau keadaan flat-flat usang, namun tiada seorang pun hadir. Mereka lebih selesa mengkritik dari jauh,” katanya lagi.
Beliau berkata, URA memberi peluang kepada kerajaan negeri bertindak dengan lebih efektif, selari dengan matlamat meningkatkan kualiti hidup rakyat tanpa meninggalkan mana-mana komuniti.
“Kita perlu bersuara apabila dakwaan tidak berasas dibuat. URA ialah satu alat untuk kemajuan yang adil dan berprinsip.
“Ia adalah peluang untuk memperbaiki kehidupan rakyat di kawasan bandar yang semakin terpinggir,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |