BERITA SEMASA

UPKO umum keluar PH, fokus agenda “Sabah First”

KOTA KINABALU – Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diputuskan selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi yang diadakan bagi membincangkan hala tuju baharu parti berasaskan prinsip “Sabah First”.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang berkata, mesyuarat khas itu turut menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Presidennya, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat kerana Ewon tidak dapat bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman melibatkan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

“UPKO berpegang teguh kepada prinsip bahawa hak 40 peratus Sabah adalah perkara yang berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nelson menjelaskan bahawa sepanjang empat tahun bersama PH, UPKO telah menjadikan agenda Sabah First sebagai teras dalam rundingan manifesto dan perbincangan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Namun katanya, wujud jurang tafsiran dan pendirian antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional, khususnya berkaitan tuntutan pelaksanaan hak 40 peratus, satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta pelaksanaan autonomi PH Sabah.

Dalam pada itu katanya, UPKO turut menzahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan Majlis Presiden PH menyelesaikan isu kepengerusian PH Sabah yang sepatutnya diterajui UPKO, selepas keputusan pemilihan rasmi dibantah oleh PKR Sabah.

“Presiden UPKO akhirnya hanya dilantik sebagai penyelaras (coordinator), manakala keputusan penting berkaitan persiapan pilihan raya tetap diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar di peringkat Sabah,” jelasnya.

Sementara itu katanya, mesyuarat khas itu turut menegaskan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami denyutan nadi serta aspirasi rakyat negeri itu, dan perjuangan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diperkasakan.

“UPKO kini membuka ruang untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang berkongsi agenda perjuangan sama bagi memperkukuh pelaksanaan MA63 dan menuntut hak 40 peratus hasil negeri.

“Hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mesti berasaskan semangat dan pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963,” tegasnya.

Beliau menambah, keputusan untuk keluar daripada PH dibuat selepas menilai semula pengalaman empat tahun dalam gabungan itu serta mengambil kira seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan dimulakan menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Dua Ahli Parlimen UPKO termasuk Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan dikekalkan sehingga tamat penggal ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button