UOC perkukuh latihan industri fisioterapi melalui kerjasama dengan Physiogo
CYBERJAYA – Universiti Cyberjaya (UOC) terus memperkukuh kualiti latihan industri pelajarnya dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Physiogo Sdn. Bhd, (Physiogo) sebuah syarikat rehabilitasi yang berpengalaman luas dalam sektor fisioterapi.
Naib Canselor UOC, Prof Dr. David L. Whitford berkata, kerjasama itu membuka ruang lebih besar kepada pelajar fisioterapi universiti berkenaan untuk menguasai kemahiran praktikal selari keperluan industri semasa.
Menurutnya, MoU tersebut bertujuan meningkatkan aspek latihan industri dengan memberi persediaan awal serta pengalaman penting kepada pelajar sebelum mereka melangkah ke dunia kerjaya sebenar.
“Latihan industri bukan sekadar melengkapkan syarat akademik, tetapi menjadi platform bagi pelajar mengasah kemampuan berkomunikasi, menangani situasi sebenar, bekerja dalam pasukan serta meningkatkan kecerdasan emosi (EQ) di tempat kerja.
“Sebagai graduan, mereka mungkin belum biasa dengan tekanan dan cabaran ketika berdepan pesakit, maka pengalaman secara langsung ini amat diperlukan,” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara UOC dengan Physiogo di kampus universiti itu di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha pihak universiti untuk melibatkan lebih banyak rakan latihan industri untuk penempatan lebih 200 pelajar dalam program Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi.
Physiogo yang ditubuhkan pada 2017 kini mempunyai 11 cawangan di seluruh Lembang Klang dan Selangor.

Sementara itu, Pengurus Besar Physiogo, Muhammad Harith Mohd Azman berkata, kerjasama bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk didedahkan kepada realiti alam pekerjaan bahkan mendalami aspek pengurusan perniagaan dan meneroka potensi kerjaya dalam bidang perkhidmatan yang semakin mendapat sambutan itu.
“Malaysia kini menuju ke status negara menua dan memerlukan lebih ramai pakar profesional dalam bidang fisioterapi.
“Dengan permintaan yang meningkat, graduan fisioterapi mempunyai prospek kerjaya yang baik, sama ada dalam sektor sukan, hospital atau membuka pusat rehabilitasi sendiri,” katanya sambil memaklumkan pemilihan syarikatnya dibuat berdasarkan pengalaman serta rekod keberhasilan dalam sektor rehabilitasi.
“Sehingga kini, kami telah memberikan lebih 300,000 sesi rawatan kepada 100,000 pesakit berbeza. Kami melihat kolaborasi ini sebagai peluang untuk menyumbang kepada pembangunan profesion fisioterapi, yang selama ini masih disalah tafsir sebagai sekadar tukang urut,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Harith berkata permintaan terhadap fisioterapis yang semakin meningkat menawarkan jaminan kerjaya yang baik, sama ada dalam sektor hospital, pusat rehabilitasi swasta atau secara sambilan.
Pihaknya juga optimis bahawa kerjasama strategik itu akan melahirkan lebih ramai graduan fisioterapi berkemahiran tinggi dan sedia berkhidmat dalam industri yang semakin berkembang.

Pelajar Tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Waliuddin Akmal Noor Ramli berkata, pengalaman mengikuti latihan industri memberi pendedahan yang cukup berharga terutama dalam mempraktikkan kemahiran klinikal dan teknik rawatan.
Selain itu, peluang itu juga membantu membina keyakinan diri untuk berdepan dengan pesakit selepas membuat penilaian dan merancang keperluan rawatan.

Bagi pelajar Tahun 1 pengajian yang sama, Nurara Ariana Ahmad Azwan, pemilihan kursus itu datang dari minat selepas menemani ayahnya mengikuti sesi terapi.
“Saya rasa bidang ini menjanjikan pendapatan yang lumayan sekiranya kita pandai mencari peluang misalnya dengan membuka pusat terapi sendiri atau melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat Sarjana.
“Selain itu fisioterapi bukan semata-mata mengenai rawatan orang patah tulang sahaja, tapi skopnya lebih luas termasuk cara mendapatkan postur badan yang betul dan cara hidup sihat,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






