
UMS tidak ambil tindakan pelajar terlibat demo anti rasuah, bakar effigy PM
Selaras nasihat Perdana Menteri
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan pelajar yang terlibat dalam demonstrasi antirasuah baru-baru ini, termasuk ke atas pelajar yang membakar patung effigy menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Canselor, Profesor Datuk Kasim Mansur berkata, tindakan itu selaras nasihat Perdana Menteri, minggu lepas.
Bagaimanapun, katanya, UMS akan menasihati para pelajarnya mengenai tanggungjawab yang datang bersama kebebasan yang mereka miliki.
“Memandangkan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada tindakan tatatertib akan diambil, kami akan mematuhi pendirian tersebut.
“Namun, di peringkat universiti, kami akan terus mendekati pelajar dan membantu mereka memahami bahawa kebebasan perlu disertai dengan tanggungjawab,” katanya.
Kasim berkata demikian selepas menyampaikan bantuan bubu hibrid kepada nelayan dari Kampung Rampayan di Manggatal, dekat sini hari ini.
Jelasnya, UMS sebelum ini mempertimbangkan untuk menggantung atau menyingkirkan kesemua 13 pelajar yang terlibat dalam demonstrasi Sabah Gempur Rasuah 2.0.
Beliau menambah, universiti menghormati hak pelajar untuk menyuarakan pandangan, namun perlu ada keseimbangan antara aktivisme dan pematuhan terhadap peraturan.
“Telah dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi bahawa demonstrasi tersebut menunjukkan pelajar mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat mereka.
“Namun, walaupun AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012) membenarkan pelajar menyertai demonstrasi, UMS berpandangan ia tidak sepatutnya sampai ke tahap hilang pertimbangan yang wajar.
“Kebenaran yang kami berikan adalah bersyarat, iaitu pelajar menghormati undang-undang dan tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan komuniti sekeliling.
“Ia mesti disuarakan secara beradab, tanpa melanggar peraturan. Itulah pendirian kami dalam hal ini,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |