
Umpan roti strawberi bawa tuah, Muhammad Abdullah raih gelaran juara
AMPANG JAYA – Usaha tanpa putus asa akhirnya membuahkan hasil buat Muhammad Abdullah Selamat, 51, apabila muncul juara Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 yang berlangsung meriah di Tasik Pandan Perdana, semalam.
Pemancing berpengalaman dari Beranang, Selangor itu menewaskan 513 peserta lain dari seluruh negara selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 4.6 kilogram (kg) menggunakan umpan roti berperisa strawberi.

Kejayaan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
“Dah lama saya tunggu nak rasa berdiri atas podium, akhirnya termakbul juga.
“Alhamdulillah, rezeki yang memang tak disangka. Saya akan manfaatkan sebaik mungkin,” katanya yang sudah lebih 20 tahun aktif dalam dunia memancing.
Program itu dianjurkan oleh MPAJ dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk MPAJ dan Airfour Classic serta disokong oleh Tourism Malaysia dan rakan strategik, Ryoko.
Muhammad Abdullah berkata, kemenangan itu adalah yang pertama teratas selepas menyertai banyak pertandingan memancing tanpa pernah menduduki tempat pertama.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohd Ariffin Ahmad, 49, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur dengan tangkapan ikan patin seberat 2.8 kilogram sekali gus membawa pulang RM1,000.
Sementara itu, tempat ketiga diraih Ahmad Alakhiri Ayob, 42, dari Rawang, Selangor dengan tangkapan ikan keli seberat 1.8 kilogram dan melayakkannya menerima RM700.
Pertandingan yang bermula seawal 8.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari itu menyaksikan penyertaan meriah dari pemancing seluruh negara.
Antara spesies ikan yang berjaya dinaikkan termasuklah patin, haruan, lekoh, puyu, raja, tilapia, ikan bandaraya, ketutu, lampam dan peacock bass.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata, sambutan yang diterima pada pertandingan itu amat memberangsangkan sekaligus membuktikan sukan memancing mampu menjadi platform memupuk keharmonian masyarakat.
“Melihat kepada kehadiran peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat umur, jelas ia bukan sekadar satu pertandingan tetapi juga aktiviti yang merapatkan hubungan komuniti. Kami bersetuju agar acara ini dijadikan program tahunan,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran itu turut menyokong inisiatif Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 selaras dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan rekreasi komuniti.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |