UM tidak tergagak-agak ambil tindakan terhadap premis makanan tidak patuh SOP
KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali makanan sekitar kampus tersebut yang dikatakan tidak memuaskan baru-baru ini.
UM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil maklum berhubung aduan-aduan yang dikemukakan dan dalam proses untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, universiti itu akan menyalurkan maklumat berkaitan mutu perkhidmatan terus kepada pengendali premis makanan untuk tindakan penambahbaikan dan amaran atau peringatan.
“Pengurusan Universiti juga menghargai maklum balas seperti yang dibangkitkan serta sentiasa berusaha untuk menambahbaik mutu perkhidmatan yang disampaikan.
“Kebajikan pelajar merupakan perkara penting lebih-lebih lagi yang melibatkan keperluan asasi para pelajar seperti makanan.
“Warga kampus boleh membuat aduan ke sistem Helpdesk di mana setiap aduan berkaitan akan diberi maklumbalas dan akan dimajukan kepada jabatan yang terlibat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, pemeriksaan secara berkala juga telah dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) terhadap setiap premis makanan di kampus tersebut.
“Setiap teguran akan direkod untuk penambahbaikan dan pencegahan kepada masalah berkaitan pencemaran makanan dan keracunan makanan.
“Klinik Kesihatan Universiti Malaya dan Kementerian Kesihatan Malaysia juga memainkan peranan sekiranya terdapat kes keracunan makanan dilaporkan dengan menjalankan terus pemeriksaan kepada premis yang dikenalpasti,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






