BERITA SEMASA

UKM terajui usaha bangunkan bakat hadapi era digital ASEAN 2045

LANGKAWI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil langkah proaktif dalam menangani cabaran perubahan landskap pekerjaan di Malaysia dan rantau ASEAN dengan memimpin penganjuran Forum Pembangunan Bakat dan Teknologi Masa Depan Menjelang 2045.

Naib Canselor UKM, Profesor Dr Sufian Jusoh, berkata forum itu menjadi platform strategik untuk memperkukuh pembangunan bakat sejajar dengan Visi ASEAN 2045.

Beliau berkata, forum tersebut melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk TalentCorp ASEAN, Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Kita membincangkan bagaimana membangunkan bakat untuk masa hadapan, terutamanya bagi menyokong pembinaan Komuniti ASEAN menjelang 2045,” katanya ketika ditemui pemberita semasa forum yang berlangsung di Langkawi, Rabu lalu.

Baca juga : Model pendidikan tinggi Malaysia jadi rujukan ASEAN – Dr Zambry

Menurut Dr Sufian, 620,000 pekerjaan dijangka terkesan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, dengan lebih 1.8 juta pekerja atau 10.5 peratus tenaga kerja Malaysia turut terlibat akibat perubahan teknologi.

Justeru, beliau berkata, usaha UKM dalam forum ini dilihat sebagai langkah proaktif menangani cabaran tersebut dengan membina sistem sokongan pendidikan, latihan dan jaringan industri serantau.

UKM
Naib Canselor UKM, Profesor Dr Sufian Jusoh. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam masa yang sama, UKM bersama Institut Kerja Malaysia dan Antarabangsa telah membangunkan portal GlobalASEAN.org, yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Dr. Sufian berkata, portal itu menawarkan latihan ringkas dan program pendek yang memberi tumpuan kepada ASEAN, seperti cara menjalankan perniagaan di negara-negara ASEAN serta membangunkan kemahiran melalui sijil mikro, termasuk juga pembelajaran yang boleh digabungkan secara berperingkat

“Ini adalah usaha kita untuk memberikan pengetahuan praktikal kepada pelajar dan usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana yang ingin berkembang ke negara-negara ASEAN,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Sufian berkata pendekatan UKM bersifat menyeluruh, merangkumi aspek pendidikan tinggi serta kolaborasi ekonomi dan sosio-budaya di peringkat serantau.

Beliau berkata, forum turut menyentuh keperluan menyediakan tenaga kerja yang sesuai bagi memenuhi permintaan dalam industri masa hadapan seperti semikonduktor, teknologi nano, kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi.

“Kita memerlukan bakat yang sesuai untuk sektor seperti semikonduktor dan AI. Kita juga melihat potensi kerjasama dengan negara ASEAN lain dalam menggunakan dan membangunkan bakat serantau,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Sufian berkata, UKM juga merancang untuk memperkenalkan sistem latihan industri secara dalam talian dan fizikal (hybrid internship) melalui inisiatif Global Professional Immersion yang bakal dilaksanakan bersama TalentCorp.

“Mereka akan ditempatkan di syarikat sederhana dan besar di negara ASEAN sebagai satu bentuk pendedahan sebenar kepada industri serantau,” ujar beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button