
Kebakaran Hutan: Lebih 50,000 penduduk Turkiye dipindahkan
ISTANBUL — Lebih 50,000 penduduk di tiga wilayah Turkiye dipindahkan berikutan kebakaran hutan berskala besar yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Kebakaran di wilayah Izmir, Bilecik dan Hatay menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata, hampir 200 kediaman di Izmir dan Bilecik dikenal pasti mengalami kerosakan akibat kebakaran.
“Sehingga kini, seramai 50,000 rakyat kita telah dipindahkan dari kawasan terjejas ke lokasi yang lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi menyokong usaha bantuan, Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu menyalurkan dana berjumlah 30 juta lira Turkiye (sekitar RM3,525,000) kepada setiap kerajaan wilayah yang terlibat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ibrahim memaklumkan sebanyak 260 kejadian kebakaran direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tiga hari lalu.
“Daripada jumlah itu, empat kebakaran masih aktif, dua di Izmir, satu di Manisa dan satu lagi di Hatay.
“Sebanyak empat pesawat, 14 helikopter dan lebih 1,000 anggota digerakkan ke lokasi bagi memadam kebakaran di Izmir,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kehakiman, Yilmaz Tune memaklumkan 17 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung punca kebakaran.
“Beberapa wilayah sebelum ini telah menguatkuasakan larangan sementara terhadap aktiviti pelancongan ke kawasan hutan sebagai langkah pencegahan,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |