
Tun Abdullah dimasukkan ke IJN semalam kerana kesukaran bernafas
KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia hari ini di Institut Jantung Negara (IJN) dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan pagi semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.
IJN dalam satu kenyataan hari ini berkata, Allahyarham dengan segera ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) dibawah pantauan rapi sepasukan pakar jantung.
Kata kenyataan itu, walaupun segala usaha perubatan telah dilakukan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dan dikelilingi oleh orang-orang tersayang.
“IJN amat berdukacita mengumumkan pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, yang meninggal dunia pada pukul 7.10 malam tadi di IJN, Kuala Lumpur.
Kenyataan tersebut turut menyebut, Allahyarham yang mesra dikenali sebagai Pak Lah, digambarkan sebagai seorang pemimpin yang membawa ketenangan dan sifat belas kasihan dalam perkhidmatan awam.
“Seluruh keluarga besar IJN bersatu dalam kesedihan atas pemergian (Allahyarham) Abdullah,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, peluang menjaga Allahyarham pada saat-saat terakhir merupakan satu keistimewaan dan penghormatan.
“Kerendahan hati dan kelembutan beliau menyentuh hati ramai kakitangan kami, dan kami merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarganya dan insan-insan tersayang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi yang merawat beliau dan Ketua Jabatan Kardiologi IJN, Datuk Dr Azmee Ghazi turut berkongsi perasaan yang sama.
“Tun Abdullah menunjukkan kekuatan dan maruah yang tenang. Walaupun pada saat-saat akhirnya, beliau tetap tenang dan baik hati. Ia benar-benar satu penghormatan buat pasukan kami untuk berada di sisi Allahyarham,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |