BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump umum rancangan buka semula penjara Alcatraz

SAN FRANCISCO — Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, mengarahkan pembukaan semula Penjara Alcatraz bagi menempatkan penjenayah ganas dan pendatang tanpa izin yang terlibat dalam jenayah berat.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi beliau, langkah tersebut dilihat sebagai usaha tegas memperkukuh keselamatan rakyat dan menegakkan undang-undang negara.

“Sudah tiba masanya kita gunakan semula Alcatraz, lokasi ikonik untuk menempatkan penjenayah paling ganas dan individu yang mengancam keselamatan awam. Kita tidak boleh berlembut lagi,” katanya.

Penjara Alcatraz beroperasi pada tahun 1934 dan ditutup pada 1963 atas faktor kos operasi yang tinggi.

Sepanjang tempoh operasinya, institusi itu terkenal kerana menempatkan penjenayah tersohor seperti Al Capone dan George “Machine Gun” Kelly.

Alcatraz kini berperanan sebagai tarikan pelancongan bersejarah di Teluk San Francisco.

Trump telah mengarahkan beberapa agensi termasuk Biro Penjara Persekutuan, Jabatan Kehakiman, FBI dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk meneliti keperluan logistik serta implikasi kewangan bagi merealisasikan inisiatif itu.

“Pembukaan semula Alcatraz merupakan sebahagian daripada komitmen kami terhadap undang-undang dan ketenteraman.

“Kita perlu bertindak tegas terhadap penjenayah yang mengancam keselamatan masyarakat,” tambah Trump.

Cadangan berkenaan mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk tokoh politik dan aktivis warisan sejarah, yang menyifatkannya sebagai tidak realistik dan bertentangan dengan nilai budaya setempat.

Langkah tersebut turut dilihat sebagai kesinambungan kepada pendekatan tegas Trump terhadap isu imigresen.

Terdahulu, beliau mencadangkan agar tahanan imigresen berisiko tinggi dipindahkan ke pusat tahanan tentera di Guantanamo Bay, satu cadangan yang menerima kecaman meluas daripada pertubuhan hak asasi manusia.

Hingga kini, tiada perintah eksekutif rasmi dikeluarkan mengenai pembukaan semula Penjara Alcatraz.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button