BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump arah Pentagon mulakan semula ujian senjata nuklear

GYEONGJU – Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kebimbangan baharu terhadap keselamatan global selepas Presidennya, Donald Trump mengarahkan Pentagon memulakan semula ujian senjata nuklear, sekali gus menamatkan moratorium yang berlangsung selama 33 tahun sejak 1992.

Arahan itu diumumkan menerusi platform Truth Social, hanya beberapa jam sebelum pertemuan beliau dengan Presiden Xi Jinping sempena Sidang Kemuncak Pemimpin APEC di Busan, Korea Selatan.

Trump menjelaskan, keputusan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap program ujian nuklear oleh negara lain seperti Rusia dan China, yang didakwa meningkatkan ancaman terhadap keselamatan dunia.

“Amerika Syarikat memiliki lebih banyak senjata nuklear berbanding mana-mana negara lain.

“Pencapaian ini termasuk kerja pengemaskinian dan pengubahsuaian menyeluruh terhadap senjata sedia ada yang telah dilaksanakan semasa penggal pertama pentadbiran saya.

“Disebabkan kuasa pemusnah yang amat dahsyat, saya amat tidak menyukainya, namun tiada pilihan lain,” katanya.

Menurut beliau, Rusia kini berada di kedudukan kedua, manakala China dijangka mampu menyamai kekuatan nuklear Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Disebabkan program ujian negara lain, saya telah mengarahkan Jabatan Perang untuk memulakan ujian senjata nuklear kita secara setara. Proses itu akan bermula serta-merta,” katanya lagi.

Langkah tersebut menandakan perubahan dasar besar Washington, memandangkan negara itu menandatangani Perjanjian Larangan Menyeluruh Ujian Nuklear (CTBT) pada 1996, meskipun belum meratifikasikannya secara rasmi.

Untuk rekod, ujian nuklear terakhir oleh Amerika Syarikat dilakukan pada 1992 dan sejak itu hanya melibatkan simulasi komputer serta eksperimen subkritikal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button