BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump tunjuk isyarat lucah kepada pekerja kilang Ford di Michigan

DEARBORN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencetuskan kontroversi apabila dilihat mengangkat jari tengah dan menghamburkan kata-kata kesat kepada seorang pekerja kilang yang mengkritik pengendaliannya berhubung isu Jeffrey Epstein.

Insiden itu berlaku ketika Trump mengadakan lawatan ke sebuah kilang automotif di Michigan pada Selasa, sebagaimana dirakam dalam video yang kemudiannya tular di media sosial.

Rakaman video berkenaan pertama kali disiarkan oleh laman hiburan TMZ dan kesahihannya tidak dinafikan oleh Rumah Putih.

Jurucakap Rumah Putih, Steven Cheung berkata, individu terbabit bertindak melampau sehingga memaksa presiden memberikan reaksi balas.

“Seorang individu tidak waras menjerit kata-kata kesat dalam keadaan marah yang melampau, dan Presiden membalasnya dengan sesuai serta jelas,” katanya kepada Reuters.

Menurut video berkenaan, Trump ketika itu sedang melawat kemudahan pemasangan Ford F-150 di Dearborn apabila seorang pekerja menjerit kata-kata yang kedengaran seperti ‘pelindung pedofil’, ketika presiden berada di laluan pejalan kaki bertingkat.

Trump kemudiannya menoleh ke arah individu tersebut, membalas dengan kata-kata kesat sebelum membuat isyarat jari tengah sambil berlalu pergi.

Beliau terus berdepan kecaman berhubung pengendaliannya terhadap rekod Persekutuan sensitif yang dikaitkan dengan Epstein, seorang pesalah seks yang disabitkan kesalahan dan meninggal dunia akibat bunuh diri dalam penjara pada 2019.

Sebahagian penyokong setia Trump percaya kerajaan menyembunyikan dokumen yang boleh mendedahkan hubungan mendiang ahli kewangan itu dengan tokoh awam berpengaruh.

Trump bagaimanapun berulang kali menafikan sebarang pengetahuan mengenai dakwaan penderaan dan pemerdagangan seks kanak-kanak perempuan oleh Epstein, selain menegaskan beliau tidak pernah didakwa melakukan sebarang kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button