
Truck Fighter 1.0 disasar jadi himpunan komuniti 4X4 terbesar Malaysia
PUTRAJAYA – Acara Truck Fighter (Meet & Show Event) 1.0 yang dijadualkan pada 25 Mei depan bakal menjadi satu perhimpunan komuniti pacuan empat roda (4X4) terbesar di Malaysia.
Jurucakap Zaki GM Garage, Azmar Zaki Ayub berkata, acara yang julung kali diadakan ini akan dianjurkan di pekarangan tempat letak kereta Stadium Shah Alam, Selangor dan dihadiri lebih 5,000 peserta dari Malaysia dan Thailand.

“Acara ini bertujuan untuk memperkukuh solidariti dalam kalangan pemilik 4X4 serta menghargai peranan mereka dalam kerja-kerja sukarelawan, terutamanya dalam operasi menyelamat ketika bencana banjir.
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada usahawan bengkel 4X4 untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada khalayak yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau terdahulu hadir pada majlis pelancaran acara berkenaan, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Program, Muhammad Syamim Zulkifli; dan selebriti, Pekin Ibrahim.
Antara aktiviti menarik yang turut mewarnai acara berkenaan adalah pameran dan pertandingan autoshow dengan 21 kategori unik, gerai jualan dan pameran daripada syarikat-syarikat automotif utama serta aktiviti untuk kanak-kanak termasuk pertandingan mewarna.
Selain itu, turut diadakan cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah Toyota Hilux yang diberi nafas baharu.
Azmar turut berkata, jika sambutan diterima adalah memberangsangkan, acara ini bakal dijadikan sebagai acara tahunan yang akan merancakkan lagi indistri pemotoran Malaysia.
“(Sehubungan itu) kami ingin mengalu-alukan penyertaan semua peminat 4X4 dan orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan acara ini,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |